zelenskyy
Gambar via Al Jazeera

Zelenskyy Gesa Bincang Terus Dengan Putin Tamatkan Perang

Iqbal Yasir

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy sekali lagi menggesa perbincangan terus dengan seteru utamanya dari Rusia, Vladimir Putin, lapor Aljazeera.

Zelenskyy berkata, pihaknya bersedia bertolak ansur untuk menamatkan perang yang telah mencetuskan krisis pelarian yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Jelasnya, perang yang sudah berlanjutan hampir sebulan itu juga telah menyebabkan bandar-bandar utama di Ukraine musnah.

“Pada pertemuan pertama dengan presiden Rusia, saya bersedia untuk membangkitkan isu-isu ini.

“Ia adalah kompromi untuk semua orang, (iaitu) untuk Barat, yang tidak tahu apa yang perlu dilakukan dengan kami berkenaan dengan NATO; untuk Ukraine yang mahukan jaminan keselamatan; dan untuk Rusia yang tidak mahu pengembangan (kuasa) NATO selanjutnya,” katanya.

Tambah Zelenskyy, status wilayah yang dipertandingkan di timur Ukraine itu boleh diperdebatkan dan Kyiv bersedia untuk menangguhkan cita-cita NATOnya sebagai pertukaran untuk pengunduran tentera Rusia.

Bersedia untuk referendum

Dalam pada itu, Zelenskyy turut memberitahu media tempatan bahawa dia bersedia bertemu Putin dalam sebarang ‘format’ bagi berbincang untuk menamatkan perang.

Bagaimanapun dakwanya, sebarang perjanjian yang dibuat bersama Putin perlu melalui referendum.

Zelenskyy berkata demikian ekoran Rusia yang telah menduduki Crimea sejak 2014 serta mengiktiraf wilayah pemisah Donetsk dan Luhansk beberapa hari sebelum pencerobohan ke atas Ukraine bermula pada 24 Februari lalu.

Difahamkan, beliau memberi isyarat bahawa pihaknya bersedia bercakap tentang status tiga kawasan berkenaan.

Namun beliau dengan tegas menegaskan bahawa ketiga-tiga wilayah tersebut adalah sebahagian dari Ukraine dan negaranya tidak akan menyerah kalah.

Zelenskyy turut mengulangi dakwaannya bahawa Ukraine sudah memahami hakikat bahawa mereka tidak boleh menyertai NATO.

Bagaimanapun, rakyat negaranya tidak akan sesekali menyerahkan Kyiv, bandar timur di Kharkiv mahupun pelabuhan selatan di Mariupol kepada Rusia.

“Ukraine tidak harus memenuhi kata dua Rusia. Kita yang musnah dulu (nanti),” katanya.

Sumber: Al Jazeera