Zara Qairina
Gambar: Nurul Izzah Anwar/FB

Zara Qairina: Nurul Izzah Tegaskan Perjuangan Tuntut Keadilan Akan Diteruskan

Hannah

Zara Qairina: Nurul Izzah Tegaskan Perjuangan Tuntut Keadilan Akan Diteruskan

“Ibu mana yang tidak sedih melihat anaknya pergi tak kembali.”

Demikianlah luahan Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, yang menzahirkan rasa dukacita atas pemergian adik Zara Qairina Mahathir.

Dalam hantaran di laman Facebook semalam, Nurul Izzah memaklumkan beliau bersyukur diberi peluang untuk menyampaikan takziah secara bersemuka kepada ibu Zara, selepas sebelum ini wanita berkenaan belum bersedia untuk bertemu.

“Sebagai seorang ibu, saya benar-benar merasa kesedihan yang ditanggung oleh ibu kepada adik Zara. Dia hanya mahu melihat Zara membesar seperti biasa, sihat, dan ceria,” kata Nurul Izzah.

Menurut beliau, Zara merupakan anak yang berperibadi sopan, berakhlak mulia, dan berpegang teguh pada ajaran agama.

Pemergian remaja itu, katanya, telah menyatukan rakyat Malaysia merentasi sempadan dan perbezaan.

“Saya tidak akan berhenti memperjuangkan sehingga orang yang bertanggungjawab menerima hukuman yang setimpal serta persekitaran yang selamat untuk anak-anak kita.

“Kita akan terus mengikuti dan memantau dengan rapat perkembangan terkini menerusi pengumuman Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail & Jabatan Peguam Negara – kerana setiap anak berhak untuk membesar dalam persekitaran yang selamat, bebas daripada ketakutan dan ancaman.

“Ini adalah tanggungjawab kita bersama untuk terus cakna, melindungi, dan memastikan tragedi seperti ini tidak berulang lagi,” tulis Nurul Izzah.

Dalam pada itu, beliau turut mengajak masyarakat untuk terus berdoa, berusaha, dan bertawakal agar keadilan dapat ditegakkan serta tragedi seumpama ini tidak berulang.

“Teruskan berdoa, usaha, dan tawakal – agar keadilan dan kebenaran ditegakkan, dan roh anakanda Zara ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya.

BACA: Kronologi Kes Zara Qairina Mahathir

BACA: Kes Zara Qairina: Bukit Aman Ambil Alih Siasatan, Pasukan Petugas Khas Dihantar Ke Sabah

BACA: Zara Qairina: KPM Tempatkan Sementara Pengetua, PK HEM & Semua Warden Di JPN Sabah

Sumber: Nurul Izzah Anwar