pihak zakat dituduh tak buat kerja
Gambar: LZS/Twitter

Pihak Zakat Dituduh Tidak Buat Kerja Semasa PKP, Ini Maklum Balas Mereka

Faiz Mustafa

Pihak zakat dituduh tidak buat kerja semasa PKP dulu, selain turut disyaki diperlekeh tentang pembayaran zakat daripada Pengeluaran Khas KWSP.

Membuat spekulasi ‘liar’ tanpa menyelidikinya terlebih dahulu adalah salah satu perkara yang tidak sepatutnya dilakukan. Apatah lagi jika spekulasi itu disebarkan kepada umum hingga disyaki menimbulkan fitnah yang berat.

Baru-baru ini, tular satu kenyataan di media sosial oleh seseorang individu yang mendakwa pihak zakat tidak ‘buat kerja’ ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sebelum ini.

Malah dalam kenyataan tular tersebut, individu itu juga turut mempersoalkan tentang pembayaran zakat yang perlu dilakukan menggunakan wang Pengeluaran Khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sumber: tular di media sosial

“Masa PKP 1.0 sampai PKP 2.0, orang terpaksa sampai letak bendera putih sana sini. Aplikasi Kitajaga.co sampai terpaksa diwujudkan. Zakat? Senyap tak terkutik.

“Once keluar saja KWSP, setiap masa ada saja yang up kena wajib bayar zakat atas duit keluaran KWSP tu. Maaf cakap. P****h la,” dakwa kenyataan tersebut.

Difahamkan, kenyataan tular itu menimbulkan pelbagai reaksi daripada warganet. Tidak pasti sebenarnya ia ditujukan buat agensi zakat negeri mana kerana kenyataan yang dibuatnya hanyalah umum.

Bagaimanapun, penularan kenyataan tersebut akhirnya tiba juga ke pengetahuan pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS). Bagi menjawab tuduhan tersebut, LZS akhirnya ‘buka mulut’ memberi maklum balas menerusi Twitter.

Justeru, apakah tindakan pihak zakat?

Walaupun diselar dengan tuduhan serta tohmahan sebegitu rupa, namun pihak LZS tidaklah memberi reaksi yang berbunyi senada dengan individu tersebut, sebaliknya agensi itu menjawabnya kembali dengan tenang.

Berdasarkan ciapan balas di laman Twitter LZS, agensi tersebut menjelaskan bahawa langkah terbaik yang orang awam – termasuk individu tersebut – yang perlu dilakukan adalah meneliti segala gerak kerja pihak zakat di media sosial.

Sumber: Twitter Lembaga Zakat Selangor

“Lepas ni boleh ramai-ramai share media sosial kami. Search saja ‘Zakat Selangor’ di Facebook, Instagram, Twitter, Tiktok dan Linkedln.

“Jangan cari di Tinder atau Snapchat tau, memang kami tak ada di sana,” maklum LZS dalam kenyataan balas tersebut.

Barangkali, tidak mustahil mungkin masih ramai yang belum lagi mengikuti sebarang media sosial milik agensi-agensi zakat di seluruh Malaysia, termasuklah LZS sendiri (mungkin?).

Bantuan apa yang pernah disalurkan oleh LZS untuk asnaf di Selangor ketika PKP dulu?

Terdahulu, menerusi laman sesawang rasmi LZS, agensi tersebut telah peruntukkan agihan zakat sebanyak RM69.3 juta melalui 19 inisiatif bantuan di bawah Zakat Selangor Peduli menyantuni golongan asnaf dan B40.

Menurut petikan laman sesawang tersebut, peruntukan ini telah diagihkan kepada golongan berkenaan susulan PKP 3.0 akibat penularan virus Covid-19 pada tahun 2021 tahun lalu.

Difahamkan, inisiatif tersebut telah memberi manfaat kepada 59,322 penerima dan 431 institusi yang telah dilaksanakan secara berperingkat hingga akhir tahun iaitu Disember 2021.

Malah menariknya, bantuan zakat yang disalurkan itu dijalankan berdasarkan empat agenda utama yang menjadi ‘tulang belakang’ visi bantuan tersebut. Pendek kata, objektif LZS membantu sasaran adalah sangat menyeluruh.

Gambar: Lembaga Zakat Selangor

“Empat agenda dirangka bagi menyalurkan agihan zakat secara bersasar dengan keutamaan untuk memenuhi keperluan asasi golongan asnaf fakir, miskin dan mualaf, meringankan beban golongan rentan, menyokong pemulihan institusi agama di Selangor serta menyokong keperluan asas barisan hadapan.

“Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop, “Melalui Zakat Selangor Peduli, LZS memperuntukkan agihan zakat sebanyak RM25.7 juta untuk menyantuni kebajikan golongan asnaf fakir, miskin dan mualaf di Selangor.

“Ia meliputi bantuan asasi dan keperluan hidup serta bantuan pendidikan membabitkan seramai 36,622 penerima,” memetik petikan laporan dalam laman sesawang LZS.

Demikianlah antara petikan kenyataan yang dipetik dari laman sesawang LZS mengenai bantuan apakah yang disalurkan mereka ketika waktu PKP lalu. Jelas di sini, agensi zakat tidaklah seperti yang dikatakan oleh individu itu tadi.

Kesimpulannya, marilah kita bersama-sama memegang ‘kunci’ paling dasar dalam menerima atau menyampaikan sebarang maklumat di media sosial, iaitu konsep tabayyun – selidik terlebih dahulu.

Bersempena hari dan bulan Ramadan yang mulia ini, adalah lebih baik jika kita menyimpan dahulu segala kehendak untuk menulis perkara-perkara yang negatif, sebaiknya gantikanlah ia dengan sesuatu yang bermanfaat.

Jangan lupa juga untuk mengikuti semua media sosial milik agensi-agensi zakat di seluruh negara. Segala maklumat mengenai jumlah kutipan, rekod pengagihan, laporan program semasa dan sebagainya ada disiarkan di sana.

Sumber: Twitter & Laman Web Lembaga Zakat Selangor