Baru-baru ini, tular seorang Youtuber yang sanggup ubah suai tangki akuarium untuk membawa ikan emasnya bersiar-siar, lapor Oddity Central.
Memelihara haiwan seperti ikan sememangnya memberikan ketenangan bagi golongan pencinta haiwan, khususnya yang memiliki hobi membela makhluk tersebut sebagai peliharaan di rumah.
Namun, masalahnya jika anda memiliki ikan sebagai haiwan peliharaan, agak sukar sebenarnya untuk membawanya keluar bersama kerana ia hanya boleh hidup di dalam akuarium saja.
Tidak seperti haiwan peliharaan lain kucing dan anjing, ia lebih mudah untuk membawa mereka keluar bersama kerana boleh bergerak bebas secara fizikal, selain lebih mudah dijaga dan diuruskan.
Walau bagaimanapun, tanggapan tersebut akhirnya berubah apabila seorang lelaki dari Taiwan berjaya membuktikan bahawa ikan juga boleh dibawa keluar berjalan seperti anjing atau kucing.
Segalanya bermula apabila laman Facebook Open Society memuat naik foto seorang lelaki bernama Huang Xiaojie atau lebih dikenali sebagai Jerry dalam satu perkongsian baru-baru ini.
Jerry, seorang youtuber DIY terkenal di Taiwan dilihat sedang bersiar-siar bersama ikan emasnya dengan menggunakan sebuah tangki akuarium yang diubahsuai di atas roda di Taipei.
Beberapa gambar yang dimuat naik telah menarik perhatian orang ramai. Perkara itu membuatkan Huang memuat naik video yang mempamerkan akuarium unik hasil ciptaannya pada 23 April lalu. Katanya, ia sangat mencabar.
Gambar: Oddity CentralBerdasarkan video yang dimuat naik oleh Youtuber itu, ia menunjukkan langkah-langkah yang dilakukannya untuk menghasilkan tangki akuarium berkenaan.
Jika dilihat dia menggunakan akuarium berbentuk silinder dan menggunakan besi sebagai penahan serta roda untuk menggerakkan tangki berkenaan dengan mudah.
Difahamkan, tiub akrilik ialah tangki utama ikan dan ia dilengkapi dengan sistem penapisan berkuasa bateri, pam udara untuk oksigen, serta sistem pencahayaan. Jadinya, ikan itu dapat dilihat jelas walaupun ketika malam.
Gambar: Oddity CentralMenurut Oddity Central, Huang membawa tiga ikan emasnya berjalan-jalan dan melihat sama ada ikan itu selamat pulang atau tidak. Dia menyifatkan projeknya itu berjaya.
Sementara itu, para peminatnya bersetuju dan memujinya, selain juga berharap agar tangki ikan seperti itu akan berada di pasaran suatu hari nanti supaya mereka juga boleh berjalan bersama-sama ikan mereka sendiri.
Selain itu, ada juga yang menawarkan cadangan, seperti sistem mengurangi hentakan agar menjadikan ikan lebih selesa.
Sumber: Oddity Central