youtube polisi baharu
Gambar: AFP

YouTube Bakal Kemas Kini Polisi Baharu, Bermula 15 Julai Ini

Iqbal Yasir

YouTube Bakal Kemas Kini Polisi Baharu, Bermula 15 Julai Ini

Platform penstriman video, YouTube bakal mengemaskini polisi baharu melibatkan kandungan tidak asli dan berulang, berkuat kuasa 15 Julai 2025 ini.

YouTube dalam satu kenyataan rasmi memaklumkan bahawa perubahan ini dilakukan bagi mengukuhkan garis panduan dan memastikan pencipta kandungan yang ingin menjana pendapatan menghasilkan video yang asli dan berkualiti di bawah Program Rakan Kongsi YouTube (YPP).

Langkah ini termasuk mengurangkan penggunaan semula kandungan, kandungan yang berunsur spam, serta video yang dijana menggunakan templat atau teknologi AI secara berlebihan.

Bagaimanapun, YouTube tidak menjelaskan secara terperinci berhubung kandungan berulang dan tidak asli.

Menurut laporan, polisi ini mungkin menyasarkan video seperti rakaman permainan video menggunakan suara AI, saluran (channel) tanpa wajah, atau video berdasarkan format yang sama secara berulang kali tanpa nilai tambah.

Dalam pada itu, inisiatif yang dilakukan oleh platform ini dilihat memberi kesan besar kepada sesetengah pencipta kandungan yang bergantung kepada alat kecerdasan buatan (AI) bagi menghasilkan video dalam jumlah besar.

Gambar: YouTube Policy Updates

YouTube menegaskan bahawa tujuan utama polisi ini adalah untuk menggalakkan pencipta menghasilkan kandungan yang lebih berkualiti, asli dan memberi nilai kepada penonton, serta untuk melindungi integriti platform daripada pencemaran kandungan automatik dan tiruan.

Pelaksanaan ini dijangka akan menjadi penanda aras penting dalam landskap kandungan digital, dan segala perincian lanjut dijangka akan diumumkan selepas 15 Julai apabila polisi ini dikuatkuasakan sepenuhnya.

Sumber: Hindustan Times

BACA: Video Detik-Detik Kemalangan Helikopter PDRM Di Gelang Patah

BACA: Youtube Buat Eksperimen, Pengguna Pakai “Ad Blocker” Dibenar Tonton Tiga Video Sahaja