Agong Zahirkan Pandangan Bahawa Parlimen Boleh Bersidang Dalam Tempoh Darurat

Sofea

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat YAB Perdana Menteri.

Menerusi kenyataan media oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan perkara itu setelah berkenan menerima menghadap Speaker Dewan Negara, YB Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim dan Speaker Dewan Rakyat, Yb Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara pada hari ini.

“Perkara ini termaktub di dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasiha YAB Perdana Menteri,” kata kenyataan itu.

Ini menjadikan tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat.

Tambah kenyataan itu lagi, perkenan Seri Paduka Baginda kepada nasihat YAB Perdana Menteri berkenaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat pada 12 Januari 2021 adalah semata-mata sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19 yang telah meragut lebih 1,000 nyawa setakat ini.

Sumber: Istana Negara