YB Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan Hadiri The Ninth Asia Pacific Economic Cooperation Food Security Ministerial Meeting
PERU, 21 OGOS 2024 – YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah mengetuai delegasi Malaysia untuk menghadiri The Ninth Asia Pacific Economic Cooperation Food Security Ministerial Meeting (The 9th FSMM) di Trujillo, Peru pada 18 Ogos 2024.
Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Asia Pacific Economic Cooperation – APEC) merupakan forum ekonomi serantau yang dibentuk pada tahun 1989 bertujuan memanfaatkan kesalingbergantungan di rantau Asia Pasifik dalam isu global yang berkaitan termasuk isu keterjaminan makanan.
Malaysia merupakan salah satu daripada 21 ekonomi APEC di samping Amerika Syarikat, Australia, Brunei Darussalam, Chile, Republik Rakyat China, Filipina, Hong Kong, Republik Indonesia, Jepun, Kanada, Republik Korea, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Rusia, Singapura, Chinese Taipei, Thailand dan Vietnam.
Agenda utama bagi The 9th FSMM kali ini meliputi pengukuhan komitmen ekonomi APEC dalam memartabatkan dan meneruskan usaha ke arah kestabilan dan keterjaminan makanan di rantau Asia Pasifik.

Menteri Pertanian dan wakil Menteri daripada 18 ekonomi APEC telah hadir bagi merumus dan mempersetujui dokumen Trujilo Principles For Preventing and Reducing Food Loss and Waste (Trujilo Principles) dan juga Deklaras Menteri Pertanian Ekonomi APEC Trujilo berhubung Keterjaminan Makanan.
Dokumen Trujilo Principles merupakan pelengkap kepada dokumen Food Security Roadmap Towards 2030 yang dibangunkan pada tahun 2021 semasa The 6th FSMM di mana ekonomi APEC sepakat untuk bersama sama mencapai matlamat menyediakan makanan yang mencukupi, selamat, berkhasiat, mudah diakses dan berpatutan untuk semua.
Dokumen Trujilo Principles ini memberi panduan kepada 21 ekonomi APEC dalam usaha menyokong pembangunan mampan sistem makanan dan komitmen memulihara alam sekitar bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (Sustainable Development Goals – SDG).
Deklarasi Menteri Pertanian berhubung Keterjaminan Makanan Trujilo pula merupakan satu dokumen yang dibangunkan oleh Peru untuk mengetengahkan tema Peru selaku tuan rumah APEC 2024.
Deklarasi ini memberi tumpuan kepada pertumbuhan mampan untuk pembangunan berdaya tahan dan meneruskan komitmen seperti yang digariskan dalam pelan hala tuju dan komitmen ekonomi APEC.
Antara lain, deklarasi ini menyentuh mengenai usaha pelbagai hala untuk mencegah dan mengurangkan kehilangan serta pembaziran makanan (food loss and waste – FLW) di sepanjang sistem rantaian makanan.
Semasa mesyuarat The 9th FSMM, YB Menteri telah menyatakan sokongan penuh Malaysia ke atas dokumen Trujilo Principles tersebut serta perhargaan kepada semua ekonomi APEC atas usaha kolektif dalam memuktamadkan dokumen tersebut semasa mesyuarat tahun ini.

YB Menteri turut berkongsi mengenai usaha negara ke arah menangani isu FLW di dalam negara selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025.
Dalam ruang yang sama, YB Menteri telah mengambil kesempatan untuk mengetengahkan isu krisis kemanusiaan dan keterjaminan makanan yang sedang berlaku di Gaza dan menyeru ekonomi APEC untuk mengambil tindakan segera di dalam kapasiti masing masing.
Ia untuk membantu penduduk di Palestin, terutamanya di dalam usaha mengatasi masalah kelaparan dan kebuluran terutamanya yang menjejaskan golongan kanak-kanak di Gaza.
YB Menteri turut memaklumkan inisiatif terkini yang telah diambil Malaysia untuk membawa 127 rakyat Palestin ke Malaysia untuk menjalani rawatan kesihatan atas dasar kemanusiaan.
Di sela-sela mesyuarat, YB Menteri juga telah mengadakan perbincangan dua hala dengan rakan sejawat beliau iaitu TYT Ángel Manero Campos, Menteri Kemajuan Pertanian dan Pengairan Peru.
Antara perkara yang telah dibincangkan adalah berkenaan cadangan kerjasama teknikal dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertanian antara National Institute of Agrarian Innovation of Peru (INIA) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
Selain itu, kedua-dua negara juga membincangkan berkenaan kerjasama lain yang boleh diterokai, khususnya bagi menyediakan persekitaran yang menyokong keterjaminan makanan di negara masing-masing.
Di samping itu, YB Menteri juga telah menerima pertemuan TYT Sergey Levin, Timbalan Menteri Pertanian Persekutuan Rusia. Pertemuan ini antara lain telah membincangkan berkenaan kerjasama yang boleh dijalinkan antara kedua-dua negara dalam bidang pertanian. Di kesempatan yang sama, YB Menteri telah menjemput kedua-dua negara untuk hadir ke MAHA 2024.

Terdahulu pada 17 Ogos 2024, YB Menteri telah menyertai program lawatan tapak ke Camposol, Peru. Program lawatan ke Camposol memberikan gambaran menyeluruh kepada operasi Camposol selaku antara pemain utama dalam sektor pertanian Peru yang terkenal dengan pengeluaran berskala besar dan eksport tanaman bernilai tinggi seperti blueberry dan avocado.
Selain turun ke ladang, YB Menteri dan delegasi telah dibawa melawat kilang pemprosesan untuk melihat proses pengasingan, pembungkusan dan persediaan untuk mengeksport hasil pengeluaran syarikat Camposol.
Program lawatan ini diakhiri dengan lawatan ke Takungan Camposol dan Projek CHAVIMOCHIC, sebuah projek pengairan penting yang menyediakan sumber air bagi menyokong kawasan pertanian setempat.
Penyertaan YB Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan ke persidangan antarabangsa ini menunjukkan Malaysia terus komited untuk memperkukuh hubungan kerjasama dan perdagangan dengan negara negara luar serta menyokong usaha Kerajaan untuk meningkatkan nilai pelaburan dan eksport serta memastikan keterjaminan makanan negara.