Wilayah Sharjah di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilapor telah menetapkan jumlah bilangan hari bekerja hanya selama empat hari seminggu, lapor Gulf News hari ini.
Menurut laporan itu, waktu bekerja yang ditetapkan adalah dari 7.30 pagi hingga 3.30 petang, manakala Jumaat, Sabtu dan Ahad pula menjadi hari hujung minggu (cuti).
Penetapan terbaharu itu diluluskan oleh Majlis Eksekutif Sharjah yang selaras dengan arahan Pemerintah serta Ahli Majlis Tertinggi Sharjah, Dr. Sheikh Sultan Mohammed Al Qasimi.
Difahamkan, perubahan hari hujung minggu dan sistem bekerja itu dibuat berdasarkan kajian menyeluruh yang bersesuaian dengan visi UAE.
Jelas Gulf News, visi UAE adalah mahu meningkatkan daya saing dalam beberapa sektor dengan matlamat menyokong persekitaran perniagaan dan ekonomi di negara itu.
Sebelum ini, kerajaan UAE telah menetapkan polisi hari bekerja di seluruh negara selama 4.5 hari dalam seminggu, di mana Jumaat hanya perlu bekerja separuh hari sahaja.
Sumber: Gulf News