Ujian klinikal vaksin pertama novel koronavirus (COVID-19) telah bermula, kata Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Rabu.
Agensi berita Anadolu melaporkan, ujian itu bermula “60 hari selepas virus itu dikongsi oleh China”.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan lokasi ujian klinikal itu dijalankan.
Pegawai kesihatan mengatakan tempoh sekurang-kurangnya 12 hingga 18 bulan diperlukan sebelum vaksin itu dapat digunakan.
Tedros menyeru penyelidik di seluruh dunia berganding bahu “untuk membuat penilaian terhadap eksperimen terapeutik”.
Sehubungan itu, WHO dan rakannya menganjurkan satu kajian bersama dengan beberapa negara antaranya Argentina, Bahrain, Kanada, Perancis, Iran, Norway, Afrika Selatan, Sepanyol, Switzerland dan Thailand.
Pelbagai langkah pencegahan boleh diambil oleh setiap negara seperti – membatalkan acara sukan, konsert dan perhimpunan berskala besar – untuk membantu membendung penularan wabak.
Menurutnya, langkah itu boleh membantu mengurangkan beban sistem kesihatan dan mengatasi epidemik, membolehkan tumpuan sepenuhnya dapat diberikan kepada langkah-langkah pencegahan.
Atas faktor itu, katanya WHO terus mengesyorkan langkah mengasingkan, menguji dan merawat setiap kes yang disyaki dan mengesan setiap kontak, kunci terpenting dalam langkah pencegahan yang diambil setiap negara.
Sumber: BERNAMA