
Aplikasi WhatsApp telah mencipta rekod baharu apabila sebanyak 25 juta mesej dibuat dalam masa sesaat, sewaktu perlawanan akhir Kejohanan Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar pada 18 Disember baru-baru ini.
Perkara itu diperakui dan disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg yang juga selaku pemilik kepada platform media sosial berkenaan.
Menerusi Facebook, Zuckerberg berkongsi berita gembira itu selain memaklumkan mengenai gambar bintang bola sepak dunia, Leonel Messi yang meraih tanda suka (like) paling banyak di Instagram.
“Gambar Leo Messi mengenai Piala Dunia kini paling disukai dalam sejarah Instagram.
“WhatsApp juga mencipta rekod setelah setelah pesanan sebanyak 25 juta mesej dibuat dalam masa sesaat, semasa perlawanan Piala Dunia FIFA 2022,” tulis hantaran itu pada Rabu.
Media melaporkan, Messi baru-baru ini berkongsi gambar di Instagram sambil memegang trofi dan berpura-pura tidur di atas katil.
Setiap gambar yang dikongsi olehnya telah mendapat banyak tanda suka oleh pengguna di media sosial.
Pemain bola sepak Argentina itu meletakkan kapsyen ‘Buen Da’ dalam bahasa Sepanyol yang bermaksud ‘hari yang baik’ sekiranya diterjemah kepada Bahasa Melayu.
Sumber: Mark Zuckerberg/Facebook