indomie di ukraine
Gambar: Twitter JATOSINT

Wartawan Dakwa Temui Empat Bungkusan Indomie Di Lokasi Perang Ukraine

Iqbal Yasir

Sebanyak empat buah bungkusan mi segera terkenal keluaran Indonesia yang berjenama Indomie ditemui di satu lokasi perang Rusia-Ukraine di Ukraine baru-baru ini.

Menurut agensi berita Rusia, RIA Novosti, penemuan ‘mengejutkan’ bungkusan mi segera berkenaan ditemui oleh seorang wartawannya yang bertugas di lokasi kejadian.

Difahamkan, rakaman semasa dilaporkan wartawan itu berlangsung di perkampungan Troitske yang terletak tidak jauh dari Bandar Popasna di wilayah Luhansk.

Dalam kejadian itu, wartawan tersebut melaporkan sesuatu maklumat sambil menunjukkan ke satu arah ‘terkumpulnya’ beberapa bungkusan makanan di atas tanah, termasuklah mi segera itu.

Jelas tertera di bungkusan mi segera berkenaan perkataan ‘Indomie Instant Noodles, Mi Goreng Pedas’ dan apa yang menariknya, keempat-empat pek itu masih belum dibuka.

Difahamkan, menurut RIA Novosti lagi, keempat-empat bungkusan Indomie itu dipercayai masih baru dan boleh lagi dimakan kerana tarikh luputnya yang tertera adalah pada 5 Ogos 2022.

Selain Indomie, wartawan tersebut juga turut menemui beberapa produk makanan asing dan bukan berasal Ukraine seperti American Chips, British Muesli, waffle dan minuman teh.

Dalam pada itu, terdapat juga bungkusan kotak rokok bebas cukai yang turut ditemui tidak jauh dari lokasi bungkusan Indomie ditemui tersebut.

Pengunduran Tentera Ukraine

Terdahulu, difahamkan, tentera Ukraine berkemungkinan terpaksa mundur dari medan pertempuran di wilayah Luhansk tersebut.

Langkah itu dilakukan selepas tentera Rusia terus mara bergerak ke wilayah timur setelah perang itu berlangsung selama tiga bulan.

Pengunduran tentera Ukraine itu telah membuatkan Rusia cuba menakluk secara mutlak dua wilayah di Ukraine iaitu Luhansk dan Donetsk.

Gabenor Luhansk, Serhiy Gaidai berkata, tentera Rusia telah memasuki Sievierodonetsk, kota terbesar di Dobas yang masih lagi dipertahankan oleh Ukraine.

Menurut laporan, difahamkan kira-kira 90 peratus bangunan di bandar itu telah musnah.

Sumber: Indozone, Republika.Id