Baru-baru ini tular beberapa gambar yang menyaksikan sebuah lagun bertukar warna menjadi merah jambu.
Menurut India Times, lagun tersebut yang terletak di wilayah Patagonia, Argentina itu rupa-rupanya berubah warna kerana pencemaran yang disebabkan oleh bahan kimia yang digunakan untuk mengawet udang yang dieksport.
Beberapa orang pakar dan aktivis mengatakan bahawa perubahan warna merah jambu itu adalah disebabkan oleh natrium sulfit iaitu produk anti-bakteria yang digunakan di kilang memproses udang tersebut.
Difahamkan, bahan buangan produk itulah yang telah mencemari sungai Chubut dan mengalir ke lagun itu dan beberapa kawasan sumber air lain di wilayah itu.
Jurutera alam sekitar dan ahli virologi, Federico Restrepo pula mengatakan bahawa bahan sisa dari kilang itu seharusnya dirawat sebelum dibuang.
Sementara itu, penduduk yang tinggal berhampiran lagun itu mengeluh kerana bau busuk dan masalah pencemaran yang melanda kawasan tersebut. Kerana sudah ‘meluat’ dengan masalah itu, beberapa orang penduduk disyaki telah menutup jalan raya yang biasanya dilalui oleh lori untuk membawa sisa ikan yang diproses di kilang itu.
Puluhan syarikat perikanan asing beroperasi di kawasan itu di perairan di bawah wilayah Atlantik Argentina. Kegiatan memproses ikan, sotong, dan udang itu membuka peluang pekerjaan di wilayah Chubut yang dikatakan boleh menampung sekitar 600,000 orang.
Sumber: India Times