ptptn sspn
Tiada Kategori

Waris Pendeposit Simpan SSPN Terima Manfaat Takaful Lebih RM100,000

Amira

Waris Pendeposit Simpan SSPN Terima Manfaat Takaful Lebih RM100,000

Putrajaya, 7 Ogos 2025 – Poovan a/l Arumugam apabila menerima manfaat perlindungan takaful dan khairat kematian berjumlah lebih RM100,000 hasil simpanan beliau dalam Simpan SSPN.

Mendiang Poovan, 52, seorang kakitangan kerajaan, telah meninggal dunia pada 25 Jun lalu dan merupakan pendeposit aktif Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus. Kunjungan ziarah telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, yang turut menyerahkan surat dan replika kad manfaat takaful kepada waris mendiang di kediaman mereka di Presint 11, Putrajaya.

Turut hadir dalam kunjungan itu ialah Pengerusi PTPTN, YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim; Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Ketua Eksekutif PTPTN, YBrs. En. Ahmad Dasuki Abdul Majid serta beberapa pegawai kanan agensi berkaitan.

Mendiang Poovan mempunyai akaun Simpan SSPN Prime untuk dirinya dan tiga orang anak, yang melayakkan beliau menerima manfaat takaful berjumlah RM1,822.56 serta khairat kematian sebanyak RM3,000, menjadikan jumlah keseluruhan RM4,822.56.

Selain itu, beliau turut membuka tiga akaun Simpan SSPN Plus untuk anak-anaknya di bawah Pakej Topas dan Delima, dengan jumlah caruman takaful RM30 sebulan. Melalui Simpan SSPN Plus, waris mendiang menerima manfaat perlindungan takaful sebanyak RM90,000 dan khairat kematian RM9,000, menjadikan jumlah keseluruhan manfaat sebanyak RM99,000.

Secara keseluruhan, jumlah manfaat Simpan SSPN yang diterima oleh waris mendiang mencecah RM103,822.56.

PTPTN ketika ini menawarkan dua produk simpanan utama iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus. Simpan SSPN Prime memberikan perlindungan takaful percuma kepada pendeposit dengan simpanan minimum RM1,000, selain pelepasan cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, geran sepadan sehingga RM10,000 dan dividen kompetitif.

Sementara itu, Simpan SSPN Plus menawarkan enam pakej bermula serendah RM30 sebulan sehingga RM500 sebulan, lengkap dengan perlindungan takaful sehingga RM1.2 juta, manfaat untuk penyakit kritikal, elaun hospital dan khairat kematian kepada pasangan serta anak-anak.

Untuk maklumat lanjut mengenai SSPN, orang ramai boleh mengunjungi portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my atau menggunakan aplikasi mudah alih myPTPTN.