SENIMAN, FINAS & Media Jalani Kursus Pertahanan Awam di Langkawi
Langkawi, 6 Julai 2025 – Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) baru-baru ini telah berjaya mengumpul warga industri kreatif, wakil FINAS dan media untuk menyertai Kursus Asas Pertahanan Awam Briged Seni Kreatif Siri 1/2025, yang berlangsung penuh semangat di Pantai Chenang, Langkawi dari 4 hingga 5 Julai 2025.
Seramai 50 peserta terlibat dalam kursus dua hari tersebut, terdiri daripada wakil pelbagai agensi kerajaan, penggiat seni, petugas media, dan pegawai FINAS. Keterlibatan FINAS dalam program ini bukan sekadar simbolik, malah terserlah menerusi penglibatan pegawai secara langsung dan kerjasama erat bersama APM sebagai usaha memperkasa warga seni dengan ilmu pertahanan awam.

Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Yang Amat Setia Datuk KPj. (PA) Aminurrahim bin Mohamed, Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), yang menyatakan penghargaan terhadap penyertaan meluas pelbagai pihak dalam menjayakan kursus ini.
Artis & Media Bersama Latihan ‘Real’ Seperti Pasukan Keselamatan
Latihan ini berjalan dengan jayanya dibawah kelolaan Pengarah Pembagunan Industri Finas yang juga merangkap Komander Briged Seni Kreatif iaitu YBrs. Kol. Bersekutu (PA) Muhammad Ar-Riyyan Mohammad Roslan dimana beliau menjadi watak utama menjayakan kursus ini.
YBrs. Kol. Bersekutu (PA) Muhammad Ar-Riyyan paling kananPeserta yang hadir ke Langkawi tidak hanya diberikan ceramah atau sesi teori semata-mata, sebaliknya membawa peserta menjalani latihan lapangan sebenar seperti kawad kaki, latihan CPR, pengurusan kecemasan, ikatan anduh, dan ikhtiar hidup, diajar sendiri oleh Pasukan Khas Pertahanan Awam APM(PASPA) membimbing setiap aktiviti dengan penuh profesionalisme.

Penyertaan wakil media seperti Rotikaya, Siakap Keli dan Mstar juga memberi impak besar, menunjukkan bahawa tanggungjawab kesiapsiagaan bencana adalah tugas bersama, bukan hanya milik agensi keselamatan.
Majlis Dihadiri Pimpinan Tinggi APM & Industri Kreatif

Turut hadir memberikan sokongan dan pengiktirafan kepada peserta iaitu YS PPj. (PA) Ghazali bin Abd Rahman, Pengarah APM Negeri Selangor, YBhg. PPj. Kehormat (PA) Dato’ Fyzal Fauzi, Jawatankuasa Hal Ehwal Industri, Kebajikan Data dan Industri, YBrs. Kol. Bersekutu (PA) Rozaidi bin Abdul Jamil @ Zed Zaidi, Pengerusi Briged Seni Kreatif dan Presiden SENIMAN, YS Lt. Kol. (PA) Mohd Bukhori bin Mat Sidek, Pengarah APM Negeri Kedah dan YS Lt. Kol. (PA) Mohd Izaimi bin Md Daud, Pengarah APM Negeri Perlis. Para hadirin sebulat suara menyifatkan program ini sebagai platform penting membina jalinan erat antara industri kreatif dan agensi keselamatan negara.
Kesedaran Baharu: Seni Bertemu Tanggungjawab
Kursus ini berjaya mengubah tanggapan bahawa artis hanya berperanan sebagai penghibur. Sebaliknya, mereka juga mampu menjadi sukarelawan terlatih dan memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat ketika berlaku bencana.
“Kita mahu tunjukkan bahawa warga seni juga mampu menyumbang kepada keselamatan negara. Kursus seperti ini memberi peluang membentuk disiplin, kesedaran sosial dan semangat berpasukan,” kata Zed Zaidi ketika ditemui selepas tamat latihan.
Melangkaui Hiburan, Demi Negara
Program ini adalah hasil sinergi antara FINAS dan APM Negeri Selangor, di bawah inisiatif Briged Seni Kreatif. Ia membuka lembaran baharu dalam usaha merakyatkan ilmu pertahanan awam dan mengajak semua lapisan masyarakat – tanpa mengira profesion agar bersedia jika negara memerlukan.
Galeri Gambar








