Kredit gambar: BERNAMA

Warga OKU Naik Tren Rapid KL Percuma Hujung Minggu Ini

Nur Adnin

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) — Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) boleh menggunakan perkhidmatan tren Rapid KL pada hujung minggu ini secara percuma bersempena sambutan Hari OKU Kebangsaan, kali ini.

Tarikh 3 Dis setiap tahun, diiktiraf sebagai sambutan Hari Orang Kurang Upaya (OKU) sedunia.

Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) dalam kenyataan hari ini berkata tawaran itu turut diberikan kepada pembantu kepada OKU bagi menggunakan kesemua perkhidmatan rel kendalian Rapid KL iaitu LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, LRT Laluan Kelana Jaya, MRT Laluan Kajang dan Laluan Monorel.

“Tawaran itu diberikan kepada pemegang kad OKU tempatan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Bersempena sambutan Hari OKU ini, Prasarana merakamkan penghargaan kepada pihak kementerian khususnya Jabatan Pembangunan OKU atas segala usaha gigih mereka memperkasakan kesejahteraan kehidupan golongan istimewa ini,” menurut kenyataan tersebut.

Masyarakat OKU turut menjadi penyumbang besar kepada proses pembangunan nasiona (nation building), justeru bagi mencapai aspirasi ini, Prasarana akan terus bekerjasama dengan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan kehidupan golongan tersebut terus terpelihara.

Sumber: BERNAMA