KUALA LUMPUR, 30 Dis – Warga Kementerian Kerja Raya termasuk jabatan serta agensi di bawahnya digalak meneroka dan memanfaatkan teknologi terkini serta menghasilkan inovasi baharu dalam bidang teknikal.
Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ini selaras dengan agenda dan visi Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang akan membawa perubahan kepada landskap tadbir urus, pembangunan, ekonomi serta sosial negara.
Beliau berkata mendepani dunia tanpa sempadan merupakan satu cabaran bagi warga teknikal dan penggunaan instrumen teknologi secara meluas akan menjadikan mereka lebih berdaya saing dengan negara luar.
“Oleh yang demikian, kita perlu berani bergerak jauh ke hadapan dengan mempelopori teknologi, melahirkan pencipta dan bukan sekadar menjadi pengguna semata-mata.
“Saya mengambil contoh perkhidmatan penghantaran makanan oleh beberapa syarikat yang menggunakan teknologi aplikasi mudah alih dan laman sesawang bagi membuat pesanan makanan,” menurutnya dalam kenyataan bersempena Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2020 di sini hari ini.
Fadillah juga berkata pelancaran National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi baru-baru ini bertujuan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dengan menjadi negara berteknologi tinggi.
“Melalui NTIS, para pembangun teknologi, penyelidik dan inovator dapat menjalankan projek dalam persekitaran yang terkawal, berasaskan peraturan yang memberi kelonggaran untuk mencuba teknologi baharu. Secara tidak langsung, ini membolehkan lebih banyak inovasi baharu dapat dikomersialkan.
“Sekali lagi saya ingin menyeru agar para profesion teknikal tempatan dapat menyokong dasar pelaksanaan NTIS negara terutama dalam membantu graduan-graduan tempatan dengan mengiktiraf kemahiran yang mereka miliki seterusnya turut berkongsi kepakaran yang ada,” katanya.
Beliau juga berkata dalam tempoh seminggu sahaja, HPTN 2020 berjaya merekodkan lebih 100,000 pengunjung maya.
“Besar harapan saya agar Sambutan HPTN mencapai matlamatnya dengan menjadi acara tahunan yang dimasukkan dalam kalendar aktiviti negara dan seterusnya setaraf dengan sambutan Hari Guru, Hari Polis serta Hari Jururawat Sedunia dan lain-lain,” katanya.
— BERNAMA