
Warga Emas Rebah, Meninggal Dunia Di Bazar Ramadan
Seorang lelaki warga emas rebah dan meninggal dunia ketika mengunjungi Bazar Ramadan Taman Seri Harapan, Baling pada Ahad, lapor Astro Awani.
Mangsa, Zainon Said berusia 75 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira jam 4.30 petang, menurut Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Azmi Mokhtar.
“Hasil temu bual dengan anak warga emas itu mendapati bapanya mempunyai sejarah penyakit kronik, iaitu kencing manis, darah tinggi, kolesterol tinggi, dan pernah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Parit Panjang, Kupang.
“Warga emas itu juga pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar kerana mengalami pendarahan usus yang serius dan pernah ditahan di wad,” ujar Azmi ketika dihubungi Astro AWANI.
Beliau menambah, hasil siasatan menunjukkan tiada unsur jenayah. Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.
Bagi menguruskan pengebumian, jenazah telah dibawa pulang ke kediamannya di Kampung Banggol Asam, Pulai.
BACA: Ini Senarai Lokasi Bazar Ramadan Rahmah 2025
BACA: Main Sambil Belajar, Ruang Edukidz Di MADAD Curi Tumpuan
Sumber: Astro Awani