Warga emas maut ketika ambil wuduk
Gambar: JPBM

Warga Emas Maut Jatuh Perigi Ketika Hendak Ambil Wuduk

Hannah

Warga Emas Maut Jatuh Perigi Ketika Hendak Ambil Wuduk

Seorang lelaki warga emas dilaporkan maut selepas terjatuh ke dalam sebuah perigi ketika hendak mengambil wuduk.

Kejadian tragis itu dilaporkan berlaku sekitar jam 6.30 pagi di Kampung Tasek Bakong, pada Ahad.

Mangsa, Bahrum Ismail, 64, ditemukan di dasar perigi sedalam empat meter.

Jiran mangsa, Mohd Shamsudin Pa’Sar, 50, rutin Bahrum setiap pagi adalah mengambil wuduk di perigi tersebut sebelum menunaikan solat Subuh.

“Perkara itu menjadi rutin mangsa setiap kali mahu keluar menoreh. Masa kejadian saya dalam perjalanan ke kedai untuk menjual ayam segar sebelum berhenti di hadapan rumah Bahrum kerana melihat anak-anaknya dalam keresahan.

“Sejurus tiba, anak mangsa memberitahu bapa mereka telah terjatuh ke dalam perigi,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Shamsudin berkata, salah seorang anak mangsa sempat mendengar suara ayahnya meminta pertolongan dan cuba menghulurkan tali.

Namun usaha itu gagal apabila mangsa kelihatan terlalu lemah sebelum tenggelam sepenuhnya.

Selain itu, Mohd Shamsudin berkongsi turut menghubungi talian Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 untuk mendapatkan bantuan.

Dalam pada itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Pegawai Bomba Kanan I Azmi Jaafar, mengesahkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.52 pagi.

Sejurus laporan diterima, pasukan penyelamat segera bergegas ke lokasi bersama tujuh anggota.

“Apabila tiba di lokasi kami mendapati mangsa tenggelam di dasar perigi. Seorang anggota telah turun ke dalam perigi tersebut untuk operasi mencari dan menyelamat.

“Kami mengambil masa selama 30 minit untuk membawa keluar mayat menggunakan kaedah ikatan tali,” katanya.

Tambah beliau, jenazah mangsa berjaya dibawa keluar sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

BACA: Komposer Terkenal S Atan Meninggal Dunia

BACA: Hilang Bebola Mata Kiri, Lelaki Warga Tempatan Kritikal Selepas Diserang

BACA: 8 Maut, 17 Cedera Dalam Serangan Pisau Di Sekolah Vokasional

Sumber: Sinar Harian