
KUALA NERANG, 6 Jun – Seramai 50 penduduk Kampung Tanah Merah, Pedu dekat sini yang terdiri daripada masyarakat Siam berusia lingkungan 50 hingga 86 tahun menerima suntikan vaksin COVID-19 hari ini.
Mereka menerima suntikan itu selepas pasukan Unit Bergerak Vaksinasi COVID-19 Daerah Padang Terap berkunjung ke kampung tersebut selepas unit berkenaan dilancarkan pada 1 Jun lepas.
Pembantu Ketua Sami Wat Siam Tanah Merah Akron a/l Nyam, 54, berkata penerima vaksin terdiri daripada golongan warga emas selain penjaga wat yang tinggal di kawasan itu.
“Kami rasa gembira dapat suntikan vaksin, walaupun kami tinggal jauh dan susah untuk bergerak ke pusat pemberian vaksin (PPV) kerana faktor usia tapi hari ini kami dapat juga vaksin.
“Jadi kami ucap terima kasih kepada pegawai kesihatan, pejabat daerah dan semua pihak termasuk pasukan unit bergerak ini yang datang ke sini untuk membantu kami,” katanya kepada pemberita.
Ai Sang a/l Seemank, 62, pula berkata meskipun penduduk kampung itu kurang pendedahan terhadap maklumat berkaitan vaksin namun mereka menyedari kepentingannya bagi mengawal penularan COVID-19.
“Saya tak tahu daftar MySejahtera, kebanyakan kami beri nama kepada ketua kampung dan tak sangka hari ini sudah dapat suntikan vaksin, jadi saya ucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat bantu kami,” katanya yang turut menasihati orang ramai agar segera mendaftar sebagai penerima vaksin dan hadir janji temu yang ditetapkan.
Pengarah Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Padang Terap Datuk Md Shuhaime Abd Rahman pula berkata setakat ini, pihaknya menerima 15 permintaan daripada wakil masyarakat di daerah itu agar unit bergerak vaksinasi berkunjung ke kawasan mereka.
Beliau berkata tumpuan unit itu ialah membantu penduduk yang berdepan masalah berkunjung ke PPV antaranya golongan warga emas, orang kurang upaya dan pesakit terlantar.
“Kita sasarkan unit ini dapat mengunjungi semua kawasan yang dikenal pasti untuk membawa vaksin kepada penduduk, cuma ketika ini kita tidak dapat gerakkan unit ini secara maksimum kerana kuota harian vaksin yang dibawa unit ini hanya untuk sekitar 50 orang sahaja,” katanya.
— BERNAMA