IPOH, 9 Sept (Bernama) — Seorang lelaki warga emas yang ditahan selepas dipercayai bertindak agresif dengan memanjat kereta peronda polis sambil melibaskan sebilah sabit panjang di hadapan Balai Polis Gopeng semalam, direman selama empat hari.
Ketua Polis Daerah Kampar Supt Hasron Nazri Hashim berkata lelaki berusia 61 tahun itu direman bermula hari ini sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan lanjut.
“Reman selama empat hari dari 9 sehingga 12 Sept,” katanya ringkas dalam kenyataan menerusi aplikasi WhatsApp di sini hari ini.
Semalam, video kejadian tular di media sosial dan lelaki itu berjaya ditahan selepas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang hadir ke lokasi kejadian untuk membantu dengan bertindak menyembur air ke arahnya.
Sebelum kejadian, suspek dilaporkan datang ke balai polis berkenaan dengan menaiki motosikal dan membawa parang dan sabit, lalu memasuki kawasan balai.
Sebelum itu, suspek dilaporkan mengamuk serta merampas motosikal milik orang awam di kawasan Pasar Awam Lawan Kuda dan kemudian menuju ke kawasan perumahan Kopisan sebelum bertindak masuk ke Balai Polis Gopeng.
Sumber: Bernama