JOHOR BAHRU, 13 Julai – Seorang warga emas yang menghidap penyakit Alzheimer dilaporkan hilang sejak 18 hari lepas, selepas keluar dari kawasan rumah anak lelakinya di Bayu Tasik Kondominium 2, Cheras di Kuala Lumpur, 26 Jun lepas.
Lai Heng Cheong, 84, didapati keluar menerusi pintu belakang lobi kondominium itu pada kira-kira 6.30 petang, berdasarkan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) oleh pengawal keselamatan.
Menantu Lai, Koh Soh Chin, 48, berkata laporan kehilangan bapa mentuanya itu sudah dibuat pada 10 malam hari sama di Balai Polis Salak South, Kuala Lumpur.
“Sebelum hilang, saya dan ayah (bapa mentua) baru sahaja pulang ke kawasan rumah selepas bertemu rakan ayah di Flat San Peng, Kuala Lumpur.
“Selepas saya memarkir kenderaan di kawasan parkir, ayah terus turun dan mahu pergi ke lobi bersendirian. Apabila saya tiba lobi pula, saya mendapati ayah sudah tiada di situ,” katanya kepada pemberita menerusi aplikasi Zoom yang dikendalikan Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Kebangsaan, di sini hari ini.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, bapa mentuanya tinggal bersamanya dan suami sejak 10 tahun lepas serta sering membantu menjaga anak lelakinya yang berusia 11 tahun.
Koh yang bekerja di sebuah bank menjelaskan, ketika hari kejadian bapa mentuanya itu memakai kemeja-T berwarna biru, berseluar pendek berwarna putih, memakai kasut sukan berwarna biru serta membawa payung.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Lai terutamanya mereka yang tinggal di sekitar Cheras supaya menghubunginya di talian 012-6846198.
Sementara itu, Timbalan Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Kebangsaan Chua Jian Boon berkata pihaknya berharap orang ramai sudi menghulurkan bantuan agar warga emas itu dapat kembali kepangkuan keluarga dengan segera.
— BERNAMA