Seorang lelaki berusia 70 tahun di Kampung Melaka Pindah dilaporkan ditemui mati dalam keadaan tergantung pada sebatang pokok mangga.
Menurut laporan akhbar Kosmo, warga emas tersebut ditemui pada kira-kira pukul 7 malam sebelum mayatnya diturunkan dengan bantuan daripada pasukan bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Zamri Omar berkata, pihaknya telah menerima makluman panggilan kecemasan dari polis pada pukul 7.19 petang.
Beliau menyatakan bahawa seramai 11 anggota bersama dengan tiga jentera telah dikejarkan dan tiba di lokasi kejadian tujuh minit kemudian.
“Apabila tiba di lokasi, kita dapati terdapat satu mayat lelaki dalam keadaan tergantung di sebatang pokok mangga yang terletak berhampiran sebuah stor di hadapan rumahnya.
“Mayat telah diturunkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Kosmo hari ini.
Tambahnya, mangsa adalah merupakan seorang warga Indonesia yang berstatus pemastautin tetap di negara ini.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu menyatakan bahawa kes tersebut diklasifikasikan sebagat mati mengejut setakat ini.
Sumber: Kosmo