TONGOD, 19 Jun – Seorang wanita warga emas ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Namukon, Jalan Pinangah dekat sini, malam tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan hari ini menyatakan, mangsa dikenali sebagai Yang Gimbo, 76, ditemukan dalam rumah jenis tidak kekal yang musnah dalam kebakaran kira-kira 10 malam.
“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabatangan bergegas ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 170 kilometer.
“Mangsa tinggal di rumah berkenaan bersama ahli keluarganya, namun ketika kejadian hanya mangsa yang tidak sempat diselamatkan manakala semua ahli keluarganya berjaya diselamatkan penduduk kampung,” menurut kenyataan itu.
Api berjaya dikawal pada pukul 1.04 pagi sebelum operasi memadam kebakaran tamat sepenuhnya pada 1.27 pagi.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Sumber: Bernama