wanita dalam perigi
Gambar: Weibo via SCMP

Wanita Terperangkap Lebih 2 Hari Dalam Perigi Lama

Hannah

Wanita Terperangkap Lebih 2 Hari Dalam Perigi Lama

Seorang wanita di China dilaporkan terselamat selepas terjatuh ke dalam sebuah perigi lama. Difahamkan, mangsa terpaksa bertahan selama 54 jam dengan hanya berpaut pada dinding perigi.

Menurut SCMP, kejadian itu berlaku pada 13 September lalu di Quanzhou, wilayah Fujian. Mangsa, 48, ketika itu sedang berjalan santai di kawasan hutan sebelum tiba-tiba terjatuh ke dalam perigi yang ditinggalkan.

Keluarga mula menyedari kehilangannya apabila mangsa tidak pulang, lalu melancarkan pencarian. Namun, selepas usaha awal gagal, mereka membuat laporan orang hilang pada 14 September.

Misi menyelamat dimulakan pada 15 September selepas anak lelaki mangsa menghubungi Pusat Kecemasan Jinjiang Ruitong Blue Sky. Sepasukan 10 penyelamat dikerahkan bersama sebuah dron pengimejan haba bagi mengesan mangsa.

Menurut ketua pasukan, Du Xiaohang, mereka akhirnya mendengar jeritan halus meminta tolong sekitar jam 1.45 petang. Selepas menjejaki suara itu, pasukan penyelamat menemui sebuah perigi yang ditutupi semak tebal.

Selepas membersihkan kawasan sekeliling, mereka mendapati mangsa berada di dalam perigi dalam keadaan lemah, dengan jarinya yang pucat berpaut kuat pada celahan dinding yang licin.

wanita dalam perigi
Gambar: Weibo via SCMP

Mangsa ‘dikepung’ nyamuk & ular

Mangsa kemudian menceritakan bahawa beliau bernasib baik kerana tahu berenang dan sempat berpaut pada batu yang tertanam di dinding perigi.

Disebabkan struktur perigi yang sempit di bahagian atas tetapi melebar di bawah, beliau tidak mampu memanjat keluar.

Sebagai ikhtiar, mangsa menggali beberapa batu kecil untuk dijadikan tempat berpijak dan berpaut, membolehkannya bertahan lebih dua hari.

“Keadaan di bawah amat gelap, penuh dengan nyamuk dan ada juga ular air berenang. Saya digigit nyamuk tanpa henti, malah seekor ular sempat menggigit tangan saya. Syukur ular itu tidak berbisa,” katanya.

Beliau mengakui beberapa kali hampir berputus asa. Namun, dia tetap bertahan kerana memikirkan kedua-dua ibu bapanya yang sudah lanjut usia serta anak perempuannya yang baru memulakan pengajian di universiti.

Mangsa segera dikejarkan ke Hospital Bandar Jinjiang sebelum dipindahkan ke Hospital Pertama Quanzhou.

Doktor mengesahkan wanita itu mengalami dua tulang rusuk retak dan sedikit masalah pada paru-paru. Tanggannya juga cedera teruk kerana terlalu lama berpaut pada dinding perigi.

Keadaannya kini stabil dan dijangka pulih sepenuhnya selepas beberapa hari pemantauan.

BACA: Penduduk Tak Boleh Tidur, Dakwa Berlaku Gangguan Pada Waktu Malam

BACA: 3 Wanita Dibunuh Kejam Dalam “Live” Instagram

BACA: ‘Ketukan’ Misteri Ketika Waktu Malam Undang Resah Penduduk

Sumber: SCMP