KEPALA BATAS, 20 Dis (Bernama) — Seorang pekerja swasta kerugian RM44,000 akibat ditipu sindiket menyamar sebagai pegawai kesihatan dan pegawai polis yang mendakwanya terlibat dengan pengubahan wang haram berjumlah RM2.7 juta, semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Mohd Radzi Ahmad berkata wanita berusia 27 tahun itu mendakwa dia menerima panggilan telefon daripada seorang individu mendakwa pegawai kesihatan dan memaklumkannya telah mengambil ubat secara berlebihan.
“Suspek mendakwa wanita itu mengambil ubat di sebuah klinik kesihatan awam sebanyak 16 kali antara bulan lepas dan bulan ini namun wanita tersebut menafikannya sebelum panggilan tersebut disambungkan kepada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai seorang inspektor polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.
“Lelaki itu memaklumkan wanita tersebut terlibat dalam kes pengubahan wang haram membabitkan RM2.7 juta dan akan ditangkap jika enggan mengikut arahannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi berkata wanita itu diarahkan supaya memberikan maklumat akaun banknya kononnya untuk tujuan semakan sebelum tindakan membekukan akaun dilakukan.
Beliau berkata wanita itu yang panik dan bimbang ditangkap telah memberikan maklumat perbankan sebelum mendapati wang simpanannya berjumlah RM44,000 telah dipindahkan ke akaun lain yang tidak diketahuinya.
“Wanita itu cuba menghubungi semula ‘inspektor polis’ itu namun tidak berjaya lalu membuat laporan polis berhubung kejadian kerana percaya telah menjadi mangsa sindiket tersebut,” katanya.
Beliau berkata siasatan lanjut kes itu sedang dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sumber: Bernama