SIBU, 24 Dis — Seorang wanita berusia 30 tahun ditemukan rentung dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah kayu dua tingkat di Jalan Maling di sini, hari ini.
Ketua Bomba dan Penyelamat Zon 4 Sibu Janggan Muling berkata mayat Kong King Ling dijumpai pihak bomba pada pukul 1.00 tengah hari di luar bilik tandas yang terletak di bahagian kiri rumah berkenaan.
Menurutnya, pemilik rumah tiada di tempat kejadian semasa kejadian itu berlaku dan mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata panggilan kebakaran diterima pada pukul 12.06 tengah hari dan sepasukan 19 anggota bomba dan penyelamat telah digerakkan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran ini telah memusnahkan 100 peratus rumah dan dapat dikawal kira-kira pukul 12.45 tengah hari,” katanya.
Sumber: BERNAMA