
Wanita Pura-Pura Diculik Minta Wang Tebusan Daripada Suami
Akibat hutang keliling pinggang, seorang wanita di Indonesia sanggup merancang penculikan palsu untuk meminta wang tebusan RM14,000 daripada suaminya, lapor Tribun Jateng.
Laporan awal menunjukkan wanita dari Babakan Madang di Bogor, Jawa Barat terbabit diculik bersama anaknya ketika dia hendak pulang ke rumahnya hingga mencetuskan kekecohan di media sosial.
Tetapi helahnya terbongkar selepas mereka ditemukan di Puncak Bogor di Jambatan Gadog, wilayah Cisarua pada Jumaat pagi.
Ketua Polis Bogor Iman Imanuddin berkata senario penculikan itu telah dirancang oleh wanita terbabit.
“Berdasarkan hasil siasatan, wanita dan anaknya tidak diculik sebaliknya berpura-pura diculik susulan diselubungi oleh hutang,” katanya dalam satu kenyataan.
Selepas disiasat, wanita itu akhirnya mengaku dia hanya berpura-pura diculik dan ia dirancang bersama rakannya kerana dirinya mempunyai hutang sebanyak RM12,600.
Difahamkan, wanita itu terdesak melakukan perbuatan sedemikian untuk melangsaikan hutang tersebut tanpa pengetahuan suaminya.
“Wanita tersebut pergi ke kawasan Cijeruk dan mengambil gambar seolah-olah diculik dalam keadaan mulut diikat dan mata tertutup sambil memegang anaknya.
“Gambar itu juga dihantar kepada suaminya dan meminta wang tebusan sebanyak RM14,000,” ujar Iman Imanuddin.
Setelah menyedari apa yang dilakukannya adalah salah, wanita itu kemudiannya mengambil keputusan untuk pulang bersama rakan sekerjanya dalam keadaan ketakutan.
Oleh itu, dia meminta bantuan penduduk yang berdekatan di kawasan tersebut untuk menghubungi suami dan ibu bapanya.
Pihak polis menerima laporan segera dan bergerak ke tempat kejadian bersama suaminya untuk mengambil wanita itu di lokasi yang ditetapkan.
“Berhubung kes ini, kita masih meneruskan siasatan terhadap rakan mangsa yang membantu merancang senario penculikan ini,” tambahnya.
Sumber: Tribun Jateng