Wanita Pertama Kali Naik Pesawat Tersilap Pintu Tandas, Buka Pintu Keluar Kecemasan Pesawat
Seorang penumpang wanita dipercayai pertama kali menaiki kapal terbang mungkin terpaksa membayar ribuan pound selepas membuka pintu keluar kecemasan pesawat ketika ia sedang bersedia untuk berlepas.
Wanita tersebut dipercayai dalam penerbangan Air China dari Quzhou ke Chengdu, keliru apabila menyangkakan bahawa pintu keluar kecemasan pesawat itu adalah pintu masuk ke tandas.
Menurut Mirror, insiden ini menyebabkan slide atau landasan khusus (evacuation slide) di pintu kecemasan pesawat dikembangkan untuk mengeluarkan semua kru pesawat dan penumpang.
Kredit: FL360aero via XAkibatnya, penerbangan itu terpaksa dibatalkan dan pesawat tersebut kini dipercayai terpaksa diperiksa untuk penyelenggaraan selama beberapa hari.
Selain itu, kerana tidak ada penerbangan selepas waktu keberangkatan yang dijadualkan pada pukul 8:45 malam itu, penumpang pesawat tersebut terpaksa ditempatkan di bilik hotel dan diberikan pampasan.
Menurut salah seorang penumpang, Cheng, wanita tersebut membuka pintu kecemasan pesawat yang disangkanya sebagai pintu tandas itu tanpa sesiapa menyedarinya.
Tambahnya, wanita itu menangis apabila menyedari kesilapannya dan mendengar bahawa dia mungkin akan dikenakan denda £22,000 (RM132,660.00).
“Apabila evacuation slide dilipat keluar, malah pramugari sendiri terkejut.
“Penumpang wanita itu menangis apabila mendengar dia perlu membayar ganti rugi,” kata Cheng kepada Chongqing Morning Post.
Difahamkan, penumpang berkenaan kini disiasat polis berhubung tindakannya itu.
Wanita itu dikhabarkan berkemungkinan bakal dihukum dengan tahanan pentadbiran, dan dikenakan larangan perjalanan (travel ban).
Sementara itu, tindakan kurang bijak yang dilakukan wanita tersebut menuai kritikan meluas di platform media sosial China.
Seorang pengguna Weibo menyatakan bahawa tidak ada alasan untuk tindakan sedemikian, menganggapnya sebagai satu tindakan yang membahayakan keselamatan pesawat.
“Menjadi penumpang pertama kali tidak boleh dijadikan alasan. Dia boleh sahaja bertanya kepada kru di mana tandasnya,” tulisnya.
“Jika pintu darurat mudah dibuka begini, adakah ia mudah untuk dibuka secara tidak sengaja? Ini kelihatan seperti kelemahan dalam reka bentuk kapal terbang,” tambahnya.
BACA: EURO 2024: Yamal Pemain Termuda Beraksi Dalam Final, Pecah Rekod Pelé
Sumber: Mirror Online