
Semakin banyak kes kecederaan dan kematian yang berlaku akibat dihempap oleh pokok. Pihak yang bertanggungjawab haruslah mengambil tindakan dengan menebang pokok atau dahan yang reput agar tidak mengakibatkan kecederaan atau kematian disebabkan oleh perkara tersebut.
Pada hari ini, seorang pengunjung di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu cedera parah di bahagian kepala setelah dihempap dahan pokok Ru yang patah dalam kejadian ribut.
Kejadian kira-kira jam 3.15 petang pada hari Khamis itu telah menyebabkan Roslina Mohamed dari Kampung Nail mengalami pendarahan pada bahagian kepada dan hidung.
Sebelum kejadian, mangsa sedang berehat di lokasi bersama anak lelakinya. Roslina dan anak lelakinya itu sedang menunggu menantunya yang bersalin di Pusat Rawatan Ibu dan Anak, Hospital Sultanah Nurzahirah (HSNZ).
Menurut salah seorang saksi kejadian iaitu Yasmin Amimi Abdul Rashid, dia sedang menggoreng bahan jualannya pada waktu kejadian. Tidak lama kemudian, dia terdengar bunyi seperti dahan patah.
Disebabkan kejadian tersebut, mangsa tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke HSNZ untuk mendapatkan rawatan lanjut. Tambah Yasmin lagi, kejadian pokok tombang itu bukanlah pertama kali berlaku di sana, malah kejadian sama juga telah berlaku pada tiga hari lepas. Syukurnya, kejadian sebelum ini tidak mengakibatkan kecederaan.
Yasmin juga berharap agar pihak berwajib dapat menebang pokok dan dahan-dahan yang reput di lokasi terlibat agar kejadian sebegini tidak berulang.
Sumber: Sinar Harian