
Wanita ‘Naik Hantu’ Tampar Polis Gara-gara Diberi Notis Amaran Ditahan
JAKARTA — Gara-gara berang gerainya menerima notis amaran, seorang wanita naik hantu dengan bertindak memukul seorang anggota polis dalam kejadian di Makassar, Sulawesi Selatan pada Khamis lalu, lapor Tribunnews.
Ketua Perhubungan Awam Polis Pelabuhan Makassar, Inspektor Asrul berkata, kejadian bermula apabila pemilik gerai itu, 47, menerima surat amaran kerana berniaga di kawasan kerajaan PT Pertamina yang terletak di Makassar.
Difahamkan pada hari kejadian, wanita tersebut menerima surat amaran yang kedua.
“Surat amaran kedua diberikan berdasarkan rayuan PT Pertamina berhubung rancangan mengawal gerai yang berniaga di kawasan berkenaan,” katanya lagi.
Bagaimanapun, mangsa yang tidak berpuas hati dengan perkara itu mengamuk dengan merobek surat amaran yang diberikan sebelum menampar anggota terbabit.
Suspek juga menyasarkan tumbukan pada bahagian perut namun sempat ditepis oleh anggota tersebut.
“Dalam kejadian tersebut, anggota itu telah ditampar pada bahagian muka (pipi kiri) dan leher hingga mengalami luka kerana terkena calar kuku,” katanya sambil menambah mangsa sudah menerima rawatan.
Katanya, klip yang memaparkan pertengkaran antara wanita terbabit dan anggotanya tular di media sosial.
Sementara itu, Asrul berkata suspek telah berjaya ditahan pada Isnin oleh pasukan Perlindungan Wanita dan Kanak-Kanak (PPA) Unit Siasatan Jenayah Polis Pelabuhan Makassar dan kini dalam siasatan pihak polis.
“Buat masa ini, kami telah menahan wanita itu dan suspek mengakui terlibat dalam kejadian berkenaan,” ujarnya lagi.
Wanita itu ditahan kerana melawan dan memukul pegawai polis, kata polis.
Kes itu disiasat di bawah Perkara 351, Perkara 212 Kanun Jenayah dengan penjara maksimum 2 tahun 8 bulan atau denda maksimum Rp 4.500.
Sumber: Tribunnews