Gambar: Mirror

Wanita Miliki 3 Rumah Jadi Gelandangan, Tiada Duit Sebab Penyewa Tak Bayar Sewa

Aqmal Ezany

Seorang tuan tanah dan anak perempuannya dilaporkan telah kehilangan tempat tinggalnya gara-gara penyewa tidak membayar duit sewa padanya selama setahun.

Brandie LaCasse adalah seorang pesara tentera Amerika Syarikat yang memiliki tiga buah rumah di New York, yang telah diduduki semasa wabak pandemik COVID-19 menyerang negaranya.

Walaupun mempunyai tiga rumah, Wanita itu kini kehilangan tempat tinggal selepas penyewanya berhenti membayar sewa tahun lalu serta tunggakan yang berjumlah AS$23,000 (RM95,886).

Setidaknya salah satu daripada mereka dijanjikan dengan dana dari skim bantuan sewa kerajaan AS, yang akan dibayar terus kepada tuan tanah bagi mengurankan beban selama wabak pandemik ini, lapor CBSNews.

Ibu tunggal dan anaknya itu kini dilaporkan tidur di dalam kereta serta rumah rakannya.

Kerana terdesak, Brandie pernah menyuruh penyewanya untuk pindah keluar agar dia dapat masuk ke rumahnya, namun ketiga-tiganya menolak.

Wanita itu tidak dapat mengambil apa-apa tindakan terhadap penyewanya kerana masing-masing dilindungi di bawah dasar larangan pengusiran susulan wabak pandemik COVID-19.

Dia menambah: “Saya tidak faham bagaimana mereka boleh memberikan harta saya kepada seseorang untuk hidup secara percuma. Saya beli harta itu. Saya membetulkannya dengan darah, keringat dan air mata saya.

“Saya melabur dalam harta tanah ini, tidak pernah saya jangka yang saya tidak akan mempunyai tempat tinggal. Saya hanya mahukan rumah saya. Itu sahaja. Saya hanya mahukan rumah saya,” kata Brandie.

Salah seorang penyewanya mengakui bahawa dia tidak membayar sewa kerana dia tidak mampu serta terdesak untuk membayar kos penjagaan anak untuk anak perempuannya dan seorang anaknya yang menghidap autism.

“Saya rasa bersalah kerana saya tidak dapat membayarnya,” kata penyewa itu kepada CBS. “Saya pernah dijangkiti COVID-19 sebanyak dua kali. Anak-anak saya pula sekali. Begitu juga dengan suami saya. Kami sangat terkesan dengan virus ini.”

Penyewa itu juga turut bimbang kerana keluarganya mungkin boleh kehilangan tempat tinggal sekiranya dasar tersebut berakhir.

“Itulah yang saya takuti, kehilangan tempat tinggal,” katanya.

Negeri New York dilaporkan telah meluluskan permohonan penyewanya itu untuk pelepasan sewaan tetapi kelewatan mengeluarkan AS$2.6 billion bermaksud kedua-dua tuan tanah dan penyewa terpaksa menanggung akibatnya.

Setakat ini, kerajaan dilaporkan hanya membayar lapar peratus sahaja daripada jumlah yang dijanjikan.

Jabatan Perbendaharaan telah menjanjikan berbilion-bilion wang persekutuan kepada tuan tanah bagi mengurangkan beban kewangan kerana tidak dapat memungut duit sewa semasa wabak pandemik COVID-19 ini.

Ketika wabak COVID-19 ini memberi kesan kepada ekonomi dan kadar pengangguran Amerika Syarikat, kerajaan berjanji untuk menghalang pengusiran bagi mencegah bilangan jumlah yang bakal jadi gelandangan daripada bertambah serta untuk memberikan perlindungan buat golongan yang terkesan.

Sumber: Mirror