Seorang wanita dari China didapati kehilangan deria pendengaran terhadap suara lelaki. Keadaan yang dianggap aneh ini berlaku kerana dia boleh mendengar bunyi yang lain dan suara wanita, tetapi tidak berupaya untuk mendengar percakapan daripada suara orang lelaki.
Wanita cuma dikenali dengan nama Chen itu menyedari dirinya tidak dapat mendengar suara teman lelakinya setelah tersedar daripada tidur. Sebelumnya, wanita dari bandar Xiamen, di pantai timur China ini berasa mual dan berdesing di telinganya pada malam sebelum keadaan tersebut melanda dirinya. Yakin dengan cara tidur boleh melegakan keadaan itu, wanita tersebut lantas tidur dan menyedari tidak dapat mendengar suara daripada teman lelakinya sejurus bangun.
Menyedari keadaan itu, Chen terus bergegas ke Hospital Qianpu untuk mendapatkan pengesahan tentang keadaan yang dialaminya. Keadaannya itu dilihat oleh pakar telinga, hidung dan tekak di situ.
Menurut doktor yang merawatnya, Dr Lin Xiaoqing, wanita itu boleh mendengar semua perkara yang dituturkan tetapi sebaik saja pesakit lelaki berjalan masuk, dia tidak dapat mendengar sama sekali.
Tambahnya lagi, Chen mungkin kehilangan pendengaran frekuensi rendah atau kehilangan pendengaran belakang cerun. Keadaan ini boleh juga dipercayai disebabkan genetik di mana seseorang tidak dapat mendengar suara yang lebih rendah.
Chen mendedahkan bahawa dia telah bekerja dalam keadaan dibawah tekanan dan tidak mempunyai waktu tidur yang cukup. Dr Xiaoqing tidak menolak kemungkinan bahawa faktor itu juga menyumbang kepada keadaan yang dialami oleh Chen. Hal ini kerana keletihan dan tekanan yang berpanjangan boleh memberi kesan kepada badan manusia.
Sumber: TRIBUNE