JOHOR BAHRU, 26 Dis (Bernama) — Seorang wanita cedera selepas sebuah tong gas memasak di rumahnya di Taman Daya, di sini, bocor dan meletup, hari ini.
Yeo Chui Teng, 27, yang melecur tahap dua dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di rumah berkenaan.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau Pegawai Bomba Kamarulzaman Mohd Salleh berkata letupan berkenaan turut mengakibatkan kerosakan pada tingkap dan siling rumah itu.
“Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 3.58 petang dan seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian bagi membantu menyelamat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kamarulzaman berkata punca dan anggaran kerugian akibat kejadian itu sedang disiasat.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar memeriksa salur gas dengan menggunakan air sabun dari semasa ke semasa atau mencabut palam gas sebelum meninggalkan rumah masing-masing.
Baca: Nak Beli Cash Tak Mampu, Huawei Wujudkan Skim Bayaran Ansuran 0% Interest Untuk Pelajar Beli Gadgetnya
Sumber: BERNAMA