IPOH, 19 Jun (Bernama) — Seorang wanita maut selepas kereta Proton Persona yang dipandunya terperosok di bawah sebuah lori yang masuk ke laluan bertentangan dalam satu kemalangan di hadapan sebuah restoran terkenal di Jalan Chemor-Jelapang di sini hari ini.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perak berkata mangsa Noor Aishah Mohd Tahir, 26, disahkan maut oleh petugas kesihatan di lokasi kejadian.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu pada kira-kira 10.30 pagi tadi dan seramai tujuh anggota dari BBP Meru digegaskan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian terdapat sebuah kereta yang berada di bawah lori yang mana seorang mangsa wanita berada di dalam kenderaan tersebut.
Tindakan awal yang diambil adalah membersihkan tumpahan minyak dan memotong punca eletrik yang berada di kawasan ini bagi memastikan operasi menyelamat berjalan dengan selamat. Kita mendapati mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihaknya mengambil masa selama kira-kira empat jam setengah untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan tamat sepenuhnya kira-kira 2 petang dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Difahamkan, lori yang membawa muatan pelet makanan ayam dari arah Lebuhraya Ipoh-Lumut menghala ke Meru manakala kenderaan mangsa pula dari Sungai Siput menghala ke Batu Gajah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan yang mengesahkan kemalangan mengorbankan wanita itu berkata pihaknya telah menahan pemandu lori berusia 44 tahun dan akan direman untuk siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya mayat mangsa akan dibedah siasat pagi esok di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.
Sumber: BERNAMA