Wanita Maut Lepas Minum 2 Liter Air Dalam Masa 20 Minit
Gara-gara haus yang melampau, seorang wanita di US kehilangan nyawanya selepas mengalami masalah otak yang teruk akibat minum dua liter air dalam masa 20 minit, lapor Oddity Central.
Difahamkan, kejadian berlaku semasa dia dan keluarganya berkelah di tepi tasik yang terletak di Freeman, Indiana.
Mangsa kemudiannya berasa dahaga yang melampau sehingga dia buat keputusan untuk minum air sebanyak dua liter.
Perkara itu membuatkan tindak balas ketoksikan air berlaku di dalam badannya.
Wanita itu mengalami sakit kepala yang teruk akibat cuaca dan akhirnya bertindak untuk minum air dalam pengambilan yang luar dari biasa.
Wanita tersebut meminum empat botol air masing-masing berkapasiti 500 mililiter dalam masa 20 minit tanpa menjarakkan masa.
Pada permulaannya, dia tidak mengalami sebarang gejala yang serius pada kejadian berlaku, namun wanita itu secara tiba-tiba rebah di dalam garaj rumahnya.
Dia tidak sedarkan diri dan pakar kesihatan memaklumkan bahawa mangsa mengalami masalah otak yang teruk gara-gara minum terlalu banyak air dalam tempoh yang singkat.
Abang mangsa yang terkejut dengan pemergiannya mengatakan adiknya telah minum jumlah air yang ditetapkan dalam sehari, iaitu setengah gelen.
Namun, mangsa meminum air itu dalam masa yang agak singkat.
“Ia adalah satu kejutan kepada kami semua apabila pakar kesihatan bercakap mengenai ketoksikan air.
“Saya tidak tahu pula ia adalah perkara penting,” ujarnya.
Sementara itu, menurut Dr Blake Froberg dari Indiana University Health, ketoksikan air berlaku apabila seseorang minum terlalu banyak air dengan cepat.
Jelasnya, apabila meminum air dengan cepat ia akan membuatkan natrium dalam badan tidak mencukupi.
Kemudiannya, mereka akan mengalami gejala seperti kekejangan otot, loya, sakit kepala dan petanda awal badan tidak sihat.
“Minum air terlalu banyak boleh menyebabkan natrium dalam badan anda cair. Apabila ini berlaku, paras air badan anda meningkat dan sel mula membengkak,” jelas Mayo Clinic.
Sumber: Oddity Central
BACA: Kanak-kanak Tiga Tahun Maut Dilanggar Pacuan Empat Roda