Wanita Maut Kemalangan, Polis Minta Saksi Tampil Salur Maklumat
Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta kerjasama daripada orang ramai bagi menyalurkan maklumat berhubung kemalangan maut yang melibatkan dua kenderaan di Jalan Keramat Pulai, Sabtu lalu, lapor Astro Awani.
Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner (ACP) Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, pihaknya menerima maklumat daripada pihak hospital bahawa salah seorang mangsa iaitu wanita berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia pada Ahad malam.
Tambahnya, kemalangan terbabit menyebabkan lima mangsa daripada dua kenderaan mengalami cedera ringan dan parah.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada 4 Mei, Sabtu, sekitar jam 11.45 malam berhampiran simpang masuk Kampung Pergom
“Pemandu kereta iaitu wanita tempatan berusia 23 tahun bersama seorang penumpang (mangsa) yang datang dari arah Simpang Pulai menghala ke Cameron Highlands disyaki telah memasuki laluan bertentangan.
“Lalu bertembung dengan sebuah kereta dipandu seorang lelaki tempatan yang merupakan anggota tentera bersama tiga rakan setugas lain.
“Akibat pelanggaran tersebut, lima mangsa berusia antara 19 hingga 25 tahun mengalami kecederaan ringan dan parah,” katanya seperti yang dilaporkan dalam Astro Awani.
Menurut Abang Zainal Abidin lagi, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan selanjutnya.
“Bagaimanapun, Ahad lalu sekitar 10.20 malam, polis diberitahu dari pihak hospital bahawa mangsa wanita yang parah itu meninggal dunia (mati lewat) di hospital tersebut,” jelasnya.
Sementara itu, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan).
Dalam pada itu, saksi boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Edwin Tang Chiew Song dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di 016-5506863 atau tampil ke balai polis berhampiran.
BACA: Motosikal Langgar Kerbau, Penunggang Maut Di Tempat Kejadian
Sumber: Astro Awani