Keadaan fizikal tidak menjadi penghalang bagi sebahagian individu kelainan upaya untuk mencari rezeki yang halal dengan keringat sendiri.
Malah, kewujudan industri gig turut memberi ruang yang lebih fleksibel bagi mereka untuk bekerja sebagai pemandu atau penghantar makanan.
Baru-baru ini, seorang wanita berkongsi pengalamannya menaiki kereta sewa yang dipandu individu kelainan upaya.
Kongsi Efa Aziz, beliau terdengar lagu Melayu klasik yang dimainkan di radio kenderaan lelaki berbangsa Cina tersebut. Teruja dengan selera muzik pemandu berkenaan, Efa kemudiannya ingin memulakan perbualan dengannya.
Untuk kepastian, wanita itu kemudiannya menyemak semula maklumat pemandu di dalam aplikasi bagi memastikan sama ada pemandu berkenaan benar-benar bukan Melayu.
“Saya baru nak tegur, eh uncle suka dengar lagu Melayu juga.
“Takut silap, mungkin dia pun Melayu. Saya semak balik maklumat pemandu dan tertulis dia OKU pendengaran.”
Perkongsian wanita berkenaan mendapat lebih 16 ribu tanda suka di mana kebanyakan warga maya tersentuh dengan situasi berkenaan.
Pada masa yang sama, ada antara mereka yang turut berkongsi pengalaman menggunakan perkhidmatan pemandu kelainan upaya.