
Wanita Kongsi Kejadian Kepala Air Yang Hampir Menimpa Anak-anak
Baru-baru ini kejadian kepala air kerap berlaku di kawasan rekreasi air terjun, jeram dan sungai tertentu susulan taburan hujan lebat yang menimpa di beberapa kawasan di negara ini.
Tular di media sosial, satu rakaman menunjukkan sebuah keluarga hampir menjadi mangsa kepala air ketika sedang bermandi manda di tapak perkhemahan dipercayai di Baling, Kedah.
Wanita yang menggunakan akaun @259near memuat naik video kejadian kepala air dan menceritakan semula pengalaman yang tidak dapat dilupakan kepada umum.
Dalam rakaman tersebut, wanita itu sedang merakam momen-momen gembira anak-anak lelakinya yang sedang bermandi-manda di sungai itu.
Pada awalnya, kawasan mandian iaitu air sungai kelihatan sangat cetek membuatkan batu-batu yang berada dalam air itu jelas terlihat.
Air yang jernih itu mengalir tanpa henti dan keadaan di tapak perkhemahan berkenaan sangat tenang sambil diselangi dengan bunyi burung.
Kemudian, dua orang anak lelakinya yang memegang pelampung sedang memilih tempat untuk mandi dan lelaki yang dipercayai atuknya turut berbincang mengenai perkara itu.
“Abah (atuk) sedang amati keadaan sungai,” kata wanita itu.
Anak-anaknya kelihatan seronok bermain di kawasan sungai itu sambil memegang pelampung mereka.

Selepas habis satu pusingan, mereka membuat keputusan untuk berehat seketika sebelum menyambung semula aktiviti tersebut.
Dalam kejadian kira-kira 6 petang, dua anak lelakinya mahu bermain dan mandi semula di sungai tersebut disebabkan orang tidak ramai.
Namun secara tiba-tiba pemilik tapak perkhemahan berlari menuju ke arah sungai dan menjerit ‘Air!’ sambil menghalang kanak-kanak masuk semula ke sana.
Sungai yang tadinya nampak tenang, telah bertukar deras selain warna airnya juga telah berubah menjadi keruh.
Wanita itu kemudian meminta anak-anaknya supaya naik ke darat dengan segera kerana kepala air telah tiba.
Pemilik itu juga bergegas menuju ke semua tapak perkhemahan di kawasan bawah untuk memberi amaran kepada pengunjung mengenai fenomena kepala air yang bakal berlaku.


Dengan hanya sekelip mata, sungai tersebut yang asalnya tenang bertukar mengalir secara deras tanpa henti hingga lama-kelamaan menjadi semakin teruk.
Batu-batu yang tadinya kelihatan, telah tenggelam ditelan oleh arus deras.
Dalam masa sama si anak yang tidak memahami situasi bertanya berkali-kali kepada ibunya.
“Kenapa jadi macam ini Ma?”
“Ini kepala air,” terang wanita itu.
Kejadian tersebut dipercayai berlaku pada bulan lalu namun telah kembali tular di media sosial dan mendapat tontonan sebanyak 2.4 juta tontonan setakat ini.
Wanita itu turut berharap dengan perkongsian yang dibuat dapat memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai bahayanya kepala air.
BACA: Hujan Lebat Luar Biasa Punca Kepala Air Di Jeram Air Putih – Bomba