wanita hanya belanja rm30 sebulan
Gambar: Oddity Central

Wanita Hanya Belanja RM30 Sebulan, Beli Rumah Pertama Seawal 24 Tahun

Iqbal Yasir

Seorang wanita hanya berbelanja RM30 sebulan dan tindakannya jimat secara ekstremnya menjadi perhatian warganet di media sosial di Korea Selatan, lapor Oddity Central.

Wanita tersebut, Ji-hyeon Kwak berusia 24 tahun melakukan perkara “gila” itu sejak empat tahun lalu dan hasilnya dia berjaya menjimatkan wang perbelanjaan lebih daripada RM346,000.

Difahamkan, Ji-hyeon mula bekerja ketika berumur 19 tahun dan ketika itu, dia cepat menyedari bahawa dirinya perlu berjimat jika ingin mendapatkan tempat tinggal sendiri.

Walaupun memperolehi pendapatan purata RM6,881 sebulan (selepas cukai), wanita muda itu berjaya menguruskan kewangan setiap bulan hingga berjaya jimat lebih RM346,000 dalam tempoh empat tahun.

Hal itu sudah cukup untuk dia memiliki sebuah unit pangsapuri dalam masa terdekat. Tetapi, seperti yang anda boleh bayangkan, langkah untuk menjimatkan wang sebanyak itu pada kadar gaji yang kecil bukanlah perkara yang mudah.

Selain itu, faktor utama Ji-hyeon mampu membeli rumah di Korea Selatan ialah akaun Simpanan Langganan. Tidak seperti kebanyakan orang lain yang menghabiskan sebahagian hidupnya untuk memiliki rumah, Ji-hyeon hanya memerlukan masa empat tahun sahaja.

Menurut Oddity Central, Ji-hyeon terpaksa mengambil langkah berjimat-cermat hingga ke tahap yang ekstrem, termasuklah membelanjakan hanya RM28.90 untuk makanan setiap bulan.

Mungkin ramai yang menganggap hidup Ji-hyeon hanya bergantung dengan mi segera saja. Sebaliknya, dia mampu melakukan diet seimbang secara ‘bajet’ melalui sistem kupon dan diskaun yang digunakannya.

Amalan tersebut membuatkan dia dapat membeli makanan pada kadar harga yang sangat rendah dan hampir percuma. Oleh sebab itulah dia mampu menyimpan sebahagian besar gajinya.

Menerusi sebuah rancangan televisyen Sarjana Kehidupan SBS, Ji-hyeon berkata, setiap kali berbelanja, dia pasti akan mengimbas setiap resit, aplikasi mahupun kupon pembelian yang digunakannya.

Setiap imbasan tersebut akan memberikannya mata (point), sekaligus boleh ditebus kembali untuk membeli sebarang produk. Walaupun kedengaran seperti membuang masa, namun ia mampu menjimatkan wang sebanyak yang mungkin.

wanita hanya belanja rm30 sebulan
Gambar: Oddity Central

Selain bergantung kepada aplikasi dan kupon, Ji-hyeon juga berjalan kaki kira-kira dua jam sehari tanpa menggunakan pengangkutan. Dia juga hanya minum air paip atau teh buatan sendiri untuk mengurangkan perbelanjaannya.

Dalam tempoh empat tahun sejak dia mula mengamalkan berjimat cermat, Ji-hyeon telah mempelajari banyak cara untuk menjimatkan wang sambil mengekalkan diet yang seimbang. Dia kini sering berkongsi tips kepada orang ramai melalui YouTube dan Instagram.

Menariknya, dalam temu bualnya dengan SBS, wanita berusia 24 tahun itu berkata, dia bermotivasi untuk menyimpan seberapa banyak wang adalah disebabkan keadaan keluarganya yang tidak begitu baik. Dia mendakwa mahu melarikan diri dan ini merupakan pilihan terbaiknya.

Ji-hyeon akhirnya menjadi terkenal selepas rancangan Master of Living Ji-hyeon Kwak ditayangkan dan tular, serta turut meraih pelbagai reaksi positif daripada orang awam mengenai sikapnya yang sangat berjimat.

Namun di sebalik ramai yang berbangga dengannya, tidak kurang juga ada segelintir orang awam yang berpendapat bahawa dia sepatutnya menikmati hidup dengan lebih banyak dan tidak perlu terlalu berjimat.

Kisah Ji-hyeon Kwak mengingatkan semula kisah seorang wanita beberapa tahun yang lalu berjaya membeli dua buah rumah dengan menjimatkan 90 peratus daripada gajinya.

Sumber: Oddity Central