
Wanita Gaza Kongsi Momen Dengar Azan Berkumandang Selepas Gencatan Senjata
Pada 8 Oktober lalu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan perjanjian gencatan senjata di Gaza yang berkuat kuasa pada Khamis.
Dalam perjanjian itu, ia merangkumi penghentian semua serangan, pengunduran Israel dari Gaza, penyampaian bantuan kemanusiaan serta pelaksanaan pertukaran tahanan.
Susulan itu, ribuan penduduk Gaza mula kembali pulang ke kawasan runtuhan rumah mereka sejak semalam.
Wanita Gaza Kongsi Momen Dengar Azan Berkumandang Di Gaza
Baru-baru ini, tular satu video memaparkan wanita berkongsi momen mendengar laungan azan kembali berkumandang di ruang langit Gaza selepas perjanjian gencatan senjata.
Dalam klip yang dikongsikan oleh pengguna TikTok @rahaf.agha1 memaparkan riak wajahnya yang jelas tidak dapat menahan sebak selepas sekian lama tidak mendengar laungan azan di kawasan itu.
Momen itu, turut dikongsikan bersama ahli keluarga yang turut dipercayai berada di dalam rumah.
“Semuanya sudah berakhir. Kami dengar berita itu (gencatan senjata), tapi kami tak percaya ia benar-benar akan berlaku, tapi ia tetap terjadi. Dan saya berharap ini adalah pengakhirannya,” luahnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya sebak dan tumpang gembira melihat saudara sesama muslim dan muslimin di sana meraikan berita berkenaan.
“InsyaAllah, Alhamdulillah… apa sahaja yang berlaku, kami rakyat Malaysia akan sentiasa berdiri bersama kamu semua, dan kami tidak akan pernah berhenti berjuang serta menyokong rakyat Palestin,” komen seorang rakyat Malaysia.
“Mabrook Mabrook Alhamdullilah,” komen seorang lagi.
“Alhamdulillah,” tulis seorang lagi pengguna.
Terdahulu, ribuan rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal mula kembali ke Bandar Gaza pada Jumaat, selepas perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa secara rasmi, lapor Agensi Berita WAFA.
Sumber tempatan melaporkan yang orang ramai mula berjalan kaki kembali ke rumah masing-masing pada pagi Jumaat melalui Jalan Pantai Rashid dan Jalan Salah al-Din, dua laluan utama yang menghubungkan utara dan selatan Semenanjung Gaza.
Ramai daripada mereka terpaksa berjalan kaki sekurang-kurangnya tujuh kilometer, membawa barangan mereka, setelah terpaksa meninggalkan rumah.
Sumber: TikTok @rahaf.agha1