Seorang wanita di Honolulu telah ditahan pihak berkuasa kerana memalsukan sijil vaksinasi.
Penangkapan itu dilaporkan berpunca daripada kesalahan menulis nama vaksin Moderna.
Wanita yang berasal daripada Illinois, Amerika Syarikat itu difahamkan memalsukan sijil vaksinasi COVID-19 semasa hendak mengunjungi Hawaii.
Bagi mengelakkan daripada dikuarantin selama 10 hari di Hawaii, dia telah menggunakan kad vaksinasi ke program Safe Travels dan tiba di Honolulu pada 23 Ogos 2021 dengan menaiki penerbangan Southwest Airlines.
Namun, ketika pegawai di lapangan terbang memeriksa sijil vaksinasinya, terdapat sesuatu yang pelik.
“Pegawai di lapangan terbang mengenal pasti kesalahan yang mencurigakan…seperti Moderna yang salah eja dan rumahnya di Illinois tetapi dia divaksin di Delaware,” kata ejen siasatan, Wilson Lau.
Wilson kemudiannya menulis e-mel kepada pegawai di Delaware untuk pengesahan. Didapati bahawa nama wanita itu tiada dalam rekod vaksinasi.
Selain sijil vaksinasi COVID-19 yang mencurigakan, pihak berkuasa mendapati bahawa maklumat perjalanan yang diberikan wanita itu menyatakan yang dia akan menginap di Waikiki Holiday Inn.
Akan tetapi, dia tidak menyertakan nombor tempahan dan maklumat penerbangan pulang nanti.
Akibat pemalsuan itu, wanita tersebut bakal didakwa dengan dua kesalahan pelanggaran di mana dia melanggar peraturan darurat Hawaii untuk mengawal penyebaran COVID-19.
Wanita itu dilaporkan telah ditahan dengan jaminan sebanyak ASD 2,000
Namun begitu, dia akhirnya dibebaskan oleh hakim pada Rabu dan dijadualkan untuk menghadiri perbicaraan lain dalam masa 3 minggu seterusnya.
Kes pemalsuan vaksinasi ini bukanlah kes pertama yang pernah terjadi di Hawaii.
Sebelum ini, terdapat dua pelancong di Hawaii yang ditangkap oleh polis kerana memalsukan sijil vaksinasi.
Mereka adalah pasangan yang ingin bercuti bersama anak-anak mereka di Hawaii.