Seorang gadis berusia 25 tahun di Chandigarh, India mengejutkan ramai orang apabila dia mengadu bahawa ‘air matanya berdarah’, lapor portal Outlook India.
Wanita itu menyatakan bahawa dia menangis air mata darah dan selepas itu dia terus dibawa ke wad kecemasan di sebuah hospital di Chandigarh.
Wanita itu memberitahu kepada doktor bahawa dia juga pernah mengalami masalah yang sama sebulan lalu. Dia juga memberitahu kepada doktor bahawa air matanya yang mengeluarkan darah itu tidak menyebabkan rasa sakit atau rasa tidak selesa, lapor Outlook India.
Doktor memulakan diagnosis dan melakukan pelbagai ujian ke atasnya untuk mengetahui punca pendarahan pada okular.
Menurut portal berkenaan, selepas siasatan terperinci dijalankan, doktor mendapati bahawa air matanya menjadi berdarah hanya apabila dia datang haid.
Doktor akhirnya mendiagnosisnya dengan menstruasi vaskular okular – satu penyakit yang jarang berlaku yang digambarkan sebagai ‘kitaran pendarahan yang berlaku semasa haid dari organ ekstragenital’.
Punca di sebalik keadaan yang jarang berlaku itu masih belum diketahui, bagaimanapun, para pakar percaya bahawa endometriosis atau kehadiran tisu endometrium pada organ ekstragenital mungkin adalah faktornya.
Doktor memberikan wanita itu beberapa pil perancang yang mengandungi gabungan estrogen dan progesteron. Wanita itu menyatakan bahawa dia tidak mengalami masalah air mata darah itu selepas tiga bulan seterusnya.
Sumber: Outlook India