Malang bagi nasib seorang wanita berusia 19 tahun di Rokan Hulu, Riau, Indonesia ini apabila dia dilaporkan telah dirogol oleh empat orang lelaki.
Lebih menyedihkan lagi apabila anaknya yang masih bayi turut dilaporkan meninggal dunia akibat dihempas oleh lelaki berkenaan.
Menurut mangsa, dia telah mengakui bahawa dirinya telah dirogol oleh empat orang lelaki secara bergilir-gilir dalam kejadian yang tragis itu.
“Saya takut, mereka mengancam dengan memakai pisau. Ada juga yang memakai senjata api,” ujar mangsa.
Menurut portal detik news, kejadian memilukan itu telah berlaku pada September-Oktober 2021 di daerah Tambusai Timur, Rokan Hulu, Indonesia.
Mangsa menyatakan bahawa kejadian rogol itu telah dilakukan oleh suspek yang dinamakan sebagai DK, AT, ML dan ZM. Tambahnya, suspek yang dikenali sebagai DK itu telah merogolnya sebanyak tiga kali.
“Anak saya telah dihempas oleh DK, ketika itu suami saya sedang keluar memancing. Anak saya telah ditarik pada bahagian tangannya, dicampak ke atas katil dan kejang. Saya tidak tahu nak buat apa, saya terus dipaksa,” katanya.
Perkara tersebut turut disahkan oleh peguam mangsa. Bayi itu telah meninggal dunia selepas kejadian tersebut. Bayi yang meninggal dunia itu baru sahaja berusia dua bulan.
“Memang benar, bayi perempuan mangsa telah meninggal dunia selepas daripada kejadian tersebut,” kata Andri Hasibulan, peguam mangsa.
Andri menyatakan bahawa mangsa telah didakwa dirogol di hadapan dua orang anaknya yang berusia 2 bulan dan 3 tahun. Mangsa dikatakan tidak dapat melawan kerana diugut dengan menggunakan pisau.
“Bayi berusia 2 bulan ini telah dicampak dan mangsa dirogol di hadapan anaknya. Terdapat sebilah pisau yang diacukan di leher mangsa,” katanya.
Kejadian rogol itu didakwa berlaku secara berulang kali dari September hingga Oktober 2021. Mangsa didakwa telah dirogol oleh empat orang lelaki di beberapa lokasi yang berlainan.
“Ada beberapa siri kejadian. Kejadian berbeza-beza, suspek yang berbeza, lokasi yang berbeza dan ianya terjadi berulang kali. Ketiga-tiga suspek yang merogol ini adalah rakan kepada suspek rogol yang pertama. Mereka telah menggunakan objek yang menyerupai senjata api, serupa dengan pistol untuk membawa mangsa ke tempat lain dan merogolnya,” kata Andri.
Mangsa juga disyaki diberikan dadah. Menurutnya, mangsa pernah sakit sehingga muntah-muntah.
“Pernah berasa hendak demam, muntah-muntah dan sakit. Ketika itu mangsa sedang menyusukan anak dan dibawa terus ke bidan. Kata bidan, ianya mungkin keracunan. Bayi meninggal tidak lama kemudian,” katanya.
“Kita akan siasat kematian bayi ini, kerana dia dikatakan telah dicampak ketika ibunya dirogol. Kemudian mengenai keracunan ini, sama ada ia ada kaitan dengan dadah yang diberi atau tidak, kita akan minta bedah siasat nanti,” katanya lagi.
Andri turut mengakui bahawa anak guamnya itu mengalami trauma yang teruk. Keluarga mangsa dikatan kerap menerima ugutan daripada pelaku yang didakwa.
“Keadan mangsa kini sedang dalam trauma yang teruk kerana selama ini dia merasakan keadilan tidak dapat dituntut untuk dirinya. Jadi selepas kami mula mendekatinya, dia mulai beransur pulih. Kalau kita tanya berkenaan anaknya, dia terus sukar untuk bercakap,” kata Andri.
Menurut Andri, salah seorang suspek iaitu DK telah berjaya ditahan oleh pihak polis.
“Masih ada tiga orang suspek lagi. Ketiga-tiga suspek ini melakukan tindakan mengancam. Ancamannya banyak,” tambah Andri lagi.
Ketua Polis Rokan Hulu, AKBP Wimpiyanto memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima laporan berkenaan kes tersebut pada Oktober lalu.
“Pihak polis telah menerima laporan berkenaan kejadian itu pada 2 Oktober 2021. Setelah menerima laporan tersebut, pasukan penyiasat telah menjalankan siasatan terhadap kes itu termasuk mengumpul bukti berupa keterangan daripada beberapa saksi.
Kertas siasatan berkenaan kes ini telah dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Polis Tambusai Utara. Kita telah menyerahkan kertas siasatan kepada Peguam Daerah Rohul (Kejari) pada 11 November 2021,” katanya.
Sumber: Detik news