Sebilah pisau sepanjang 25 sentimeter (cm) tertusuk pada hidung seorang wanita di Rusia sehingga hampir mencabut nyawanya selepas dirinya terlibat dalam satu kejadian mengerikan. Insiden mengerikan itu berlaku di wilayah Krasnodar di Rusia.
Menurut laporan daripada Daily Star, terdapat beberapa gambar menunjukkan wanita berusia 60 tahun itu dalam keadaan mukanya tertusuk pisau selepas tersandung ke jalan raya ketika ingin mendapatkan bantuan.
Laporan beberapa media tempatan memaklumkan bahawa wanita itu telah menjadi mangsa keganasan rumah tangga. Dirinya kemudian diselamatkan oleh seorang jiran dan pasukan paramedik tidak lama selepas itu.
Berdasarkan laporan yang diperolehi, pisau itu berjaya dikeluarkan dari hidung wanita tersebut dan rawatan kecemasan telah diberikan. Imej x-ray yang dibuat menunjukkan pisau itu telah tertusuk pada hidung dan muka wanita tersebut. Namun, wanita itu masih beruntung kerana tiada sebarang luka yang boleh menyebabkan kematian.
“Dia amat bernasib baik terselamat daripada maut,” jelas laporan yang diambil daripada doktor dan pegawai penguatkuasa undang-undang.
Susulan kejadian tersebut, seorang lelaki berusia 64 tahun telah ditahan kerana disyaki membuat cubaan membunuh.
Jawatankuasa Penyiasatan Rusia memaklumkan bahawa satu pertengkaran telah berlaku antara pasangan tersebut. Selepas beberapa ketika bertengkar, lelaki itu bertindak menikam muka mangsa dengan menggunakan pisau.
Tambah seorang jurucakap kementerian kesihatan di sana, setibanya mangsa di hospital, dia telah dibawa ke bilik bedah untuk menjalani pembedahan.
“Pembedahan itu berlangsung selama 60 minit dan pisau sepanjang 25cm berjaya dikeluarkan,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia