Tidak menghiraukan kecederaan yang dialami, seorang jururawat sebaliknya bertindak meneruskan tugasnya membantu pesakit melahirkan anak dengan selamat, sejurus selepas ambulans yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan.
Momen yang menyayat hati itu dikongsi oleh Pengarah Hospital Semporna, Dr Mohd Syahfadzreen Yunus di laman Facebook, di mana beliau menceritakan mengenai kegigihan salah seorang jururawatnya walaupun ditimpa musibah.
Dalam hantaran itu, Mohd Syahfadzreen turut mengepilkan bersama gambar ambulans remuk yang tersadai dalam semak pada hantaran yang dibuat pada Rabu.
Menelusuri bait-bait yang diungkapkan oleh Mohd Syahfadzreen, jelas menunjukkan beliau begitu berasa ‘tersentuh’ dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh jururawat terbabit.
“Gambar ini bukanlah isunya. Tetapi hati ini terkilan dan degupan jantung terhenti seketika apabila warga kerja hospital yang turut terlibat sama masih membantu pesakit melahirkan bayi dengan selamat selepas kemalangan di tempat kejadian (Alhamdulillah ibu dan bayi selamat dan sihat).
“Setibanya staf terlibat di Kecemasan Hospital Semporna (dihantar menggunakan ambulans kedua hospital dan ambulans bomba) ayat pertama yang mereka tuturkan, ‘Saya berharap saya ok sebab nanti rakan lain akan terpaksa cover tugasan saya’.
“Meruntun hati dengar. Di sebalik kecederaan yang dialami dan memerlukan rawatan lanjut di hospital berpakar, masih merisaukan pesakit dan beban kerja yang ada,” tulisnya dalam hantaran itu.
Ujarnya, tugas penjawat awam bukan sesuatu yang mudah, walaupun menerima kecaman dan ditimpa musibah, mereka masih lagi meletakkan orang awam sebagai keutamaan.
“Inilah perjalanan yang perlu dilalui oleh mereka. Di sebalik cemuhan, kepenatan dan musibah, perkhidmatan perlu diteruskan demi membantu masyarakat. Suatu pengorbanan yang besar.
“Mari bersama doakan agar yang terlibat cepat sembuh. Moga semua juga diberi ketabahan. Semangat mereka tak pernah luntur dan ini yang menjadi sumber kekuatan,” tambah Mohd Syahfadzreen.
Dalam pada itu, beliau sempat menyelitkan kata-kata penulis Victoria Schwab yang menjelaskan keadaan itu dengan cara yang indah.
“I’m willing to walk in darkness if it keeps humans in the light,” katanya mengakhiri hantaran itu.
Sebelum ini, media melaporkan satu kemalangan berlaku semasa ambulans yang dalam perjalanan ke Hospital Tawau itu cuba mengelak sebuah kereta (4WD) yang memotong secara tiba-tiba dari arah bertentangan.
Difahamkan, dua mangsa yang merupakan jururawat mengalami kecederaan di bahagian belakang badan dan seorang lagi patah tulang pinggul.
Sumber: Mohd Syahfadzreen Yunus/Facebook