Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata penularan wabak koronavirus di beberapa negara di serata dunia setakat ini mungkin hanyalah permulaan.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam tweet miliknya berkata, timbul kebimbangan mengenai laporan kes koronavirus yang menjangkiti individu-individu yang tiada sejarah berkunjung ke China.
Jumlah rendah kes yang berjaya dikesan ketika ini mungkin petanda wabak ini sudah tersebar di beberapa negara lain.
Dalam perkembangan yang lain, para pekerja di China mula bekerja setelah cuti tahun baru ditamatkan, lapor The Guardian.
Jalan raya di Beijing mula sibuk berbanding pada peringkat awal wabak merebak, namun pengangkutan awam terus sunyi dan hampir kosong. Beberapa penumpang turut memakai topeng muka ketika menggunakan perkhidmatan berkenaan.
Sementara itu, sebahagian majikan turut meminta para pekerja untuk bekerja dari rumah bagi mengelakkan wabak menular.
Sehingga hari ini, seramai lebih 40,000 pesakit koronavirus dikesan di seluruh dunia dan sekurang-kurangnya 909 pesakit meninggal dunia.
Sumber: The Guardian