
Seoul : Korea Selatan kini mengambil langkah berjaga-jaga di kawasan sempadan dengan Korea Utara untuk mengekang penularan wabak demam babi Afrika, lapor agensi berita Yonhap.
Korea Utara pada Khamis mengesahkan negara itu kini dilanda wabak demam babi Afrika yang dikesan di sebuah ladang di wilayah utara Jagang, bersempadan dengan China dan memaklumkannya kepada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE).
Meskipun ladang itu terletak jauh dari sempadan, Kementerian Pertanian Korea Selatan tetap mengambil langkah kuarantin sebagai persediaan berdepan sebarang kemungkinan.
Sebanyak 77 daripada 99 babi yang diternak di ladang terbabit mati, tambah kementerian pertanian itu.
Sejak wabak mula dikesan di China pada Ogos, ia telah merebak ke negara jiran seperti Mongolia dan Vietnam.
Kira-kira 350 ladang Korea Selatan yang terletak berhampiran sempadan diletakkan di bawah pemerhatian ketat, selain kementerian merancang menjalankan ujian darah di ladang ternakan dan keputusan dijangka dikeluarkan pada 7 Jun.
Wabak itu juga dibimbangi memberikan kesan kepada sektor makanan Korea Utara ketika negara sedang mengalami masalah kekurangan makanan akibat sekatan yang dikenakan.
Program Makanan Sedunia dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian mengatakan, pengeluaran tanaman Korea Utara tahun lalu mencapai paras terendah sejak 2008.
Dianggarkan 40 peratus daripada 10 juta penduduk di Korea Utara terjejas akibat kekurangan makanan.
Sumber : Bernama