Hayat seekor singa tua di Zoo Vandalur, Chennai di India berakhir apabila mati dipercayai akibat dijangkiti COVID-19 selepas wabak berkenaan didakwa telah ‘sampai’ ke zoo tersebut.
Pegawai zoo memaklumkan, pada awalnya mereka mula mengesyaki ‘sesuatu’ apabila kebanyakan singa berkenaan tidak mahu makan (hilang selera) dan sering terbatuk.
Menyedari simptom-simptom awal COVID-19 berlaku, saringan swab dijalankan dan sampel darah haiwan mamalia lain turut diambil serta-merta bagi tujuan siasatan.
Hasil ujian mendapati sembilan ekor singa didakwa positif COVID-19, selain dua ekor yang masing-masing berusia 23 dan 19 tahun sedang kritikal.
Kematian singa tua yang diberi nama ‘Neela’ itu merupakan kes haiwan mati akibat COVID-19 yang pertama kali berlaku di India.
Sebelum itu, lapan ekor singa di Taman Zoologi Nehru, Hyderabad dilapor turut diuji positif COVID-19, manakala dua ekor anak harimau di Pakistan mati akibat virus tersebut.