China, 29 Jan – Menteri Kesihatan China, Ma Xiaowei mendakwa novel koronavirus boleh tersebar sebelum pembawa menunjukkan simptom.
Pembendungan jangkitan berada pada tahap yang mustahak, katanya. Hal ini dipersetujui Dr. William Schaffner, penasihat Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat.
“Ini bermakna jangkitan ini lebih mudah berjangkit berbanding yang kita fikirkan sebelum ini,” katanya seperti dilapor CNN.
Hal ini bermakna pembawa virus mungkin kelihatan sihat dan boleh menyebarkan virus tanpa diketahui.
Menurut The Conversation, biarpun tiada data jelas mengesahkan dakwaan itu secara tuntas, kajian perubatan diterbitkan jurnal perubatan menunjukkan kemungkinan kanak-kanak boleh menyebarkan virus walau tidak mempunyai simptom.
Dalam satu kajian yang diterbitkan The Lancet, seorang kanak-kanak 10 tahun yang tidak menunjukkan sebarang simptom telah disahkan menghidap pneumonia, salah satu gejala koronavirus.
Menurut kajian berkenaan, enam sekeluarga termasuk kanak-kanak itu telah ke Wuhan pada Disember lalu sebelum lima daripada mereka (termasuk kanak-kanak) disahkan positif koronavirus.
Seorang ahli keluarga yang tidak ke Wuhan turut dijangkiti virus berkenaan setelah bertemu dengan 4 ahli keluarga berkenaan.
Kesemua pesakit menunjukkan simptom demam, masalah saluran pernafasan atau cirit birit manakala kanak-kanak berkenaan tidak menunjukkan sebarang gejala jangkitan.
Hal ini menimbulkan kerisauan berikutan penyaringan di kebanyakan lapangan terbang hanya melibatkan individu yang menunjukkan simptom sahaja.
Sumber: CNN, BBC, The Conversation