Baru-baru ini tular mengenai seorang jurutera dan perekacipta, Ruslin Tamsir, yang mengharumkan nama negara dengan rekaan speaker untuk digunakan pada kereta McLaren.
Ramai yang kagum dengan pencapaiannya itu dan membuktikan bahawa anak Malaysia juga boleh berjaya bersaing di peringkat antarabangsa.
Bermula dengan minat terhadap bidang teknikal dan kejuruteraan, Ruslin sebenarnya mempunyai latar belakang yang sangat menarik yang mungkin boleh menjadi inspirasi untuk semua orang.
Jom tengok fakta menarik mengenai Ruslin Tamsir di bawah ini.
Ruslin sudah memperlihatkan kebolehannya dalam memimpin ketika di tahun satu di Sekolah Kebangsaan Kampong Pandan, Kuala Lumpur. Beliau telah mencapai keputusan yang cemerlang ketika peperiksaan UPSR dengan pencapaian 4A untuk semua matapelajaran.
Kecemerlangannya diteruskan lagi ketika di peringkat menengah. Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki itu mendapat keputusan 8A dalam PMR dan teruskan persekolahan di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Jasin, Melaka (Sekarang dikenali sebagai MRSM Tun Jaafar Baba).
Selain akademik, beliau juga aktif menyertai Persatuan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM), Persatuan Kadet Polis, Persatuan Melukis dan juga menyertai sukan olahraga seperti lontar peluru dan rejam lembing.
Beliau mendapat keputusan 10A untuk SPM dan berjaya menempatkan diri di University of Applied Science Ravensburg-Weingarten, Jerman dengan biasiswa yang diperolehnya.

Ruslin berjaya menempatkan diri dalam latihan industri di Daimler AG, syarikat yang membuat kereta Mercedes dan Smart.
Di sini lah permulaan untuk Ruslin yang menanam impian untuk menjadi perekacipta dan usahawan berjaya.
Beliau ditawarkan untuk bekerja di Mercedes pada tahun 2008 namun jawatan itu terpaksa dibatalkan kerana Mercedes tidak mempunyai kewangan yang stabil akibat kemerosotan ekonomi pada ketika itu.
Ruslin mencabar dirinya untuk membuat projek melibatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Continental Automotive System di Pulau Pinang.
Beliau diberikan tanggungjawab untuk membuat projek “speedometer” dan “instrument cluster” bersama Proton dan Perodua.
Tidak cuma itu beliau bersama jurutera lain bekerjasama membangunkan ‘Head Up Display’.
Beliau juga ditawarkan untuk bekerja di Motorola Solutions dan Bosch di Pulau Pinang.

Ruslin memulakan pekerjaan sebagai jurutera mekanikal di Harman International Industries, Munich, Jerman.
Antara pembesar suara yang telah dibangunkan beliau digunakan di dalam kereta mewah seperti BMW 5 Series, 7 Series, Volvo XC90, XC60 dan juga McLaren P1, P13 dan P15(Senna).
Syarikat itu juga membangunkan pembesar suara komposit Kevlar dan ‘Diamond Tweeter’.
Jenama terkemuka seperti Bowers & Wilkins, Harman/Kardon, JBL dan AKG adalah antara jenama yang pernah mendapatkan kepakaran beliau.
Ruslin juga dilantik menjadi wakil syarikat di bahagian Eropah untuk membuat dasar dan garis panduan merekacipta dan membangunkan pembesar suara secara global.

Beroperasi di Cyberjaya dan Kuala Lumpur, Ruslin menubuhkan MQ Finique Sdn Bhd.
Syarikatnya itu tertumpu kepada pembuatan bas elektrik dengan sebuah prototaip telah berjaya dihasilkan.
Beliau mengetuai syarikat dalam menghasilkan component automotive berdasarkan komposit seperti “carbon fiber” dan “glass fiber”.
Syarikatnya juga telah berjaya melantik golongan professional dari kalangan warga Malaysia yang berkelayakan tinggi untuk membantu beliau dalam menghasilkan bas elektrik ini.
Kegigihan dan semangat yang tidak pernah luntur yang ada pada Ruslin sememangnya perlu dipuji, kejayaannya itu boleh menjadi inpirasi kepada anak-anak muda Malaysia yang berminat dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan rekacipta ini.
Sumber: Ruslin Tamsir